Punca Gatal-Gatal Ludah Jin

‘Lepas Maghrib Mula Gatal-Gatal’ – Jangan Salahkan Jin, Doktor Kongsi Punca Penyakit Kulit Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pernahkah anda mengalami penyakit kulit seperti ini? Tak sakit tapi rasa gatal. Bila garu, makin besar pula jadinya.

Ruam gatal itu pula sering digelar ‘ludah jin’ kerana sering muncul pada waktu malam selepas selesai mandi atau apabila cuaca sejuk sehingga anda tidak boleh tidur kerana mengalami kegatalan.

Apa sebenarnya punca ia berlaku pada kulit tubuh?

Pelbagai pendapat mengenai punca penyakit kulit ini. Seorang doktor di Facebook, Dr Khairul Faizie menjelaskan punca sebenarnya yang mana ia bukanlah disebabkan perbuatan jin. Mari kita ikuti perkongsian beliau.

“Lepas maghrib je, dia timbul. Start lah gatal gatal. Dah banyak hari macam ni dari minggu lepas. Makcik saya kata, kena ludah dengan jin.”

1. Jangan cepat sangat salahkan jin.

2. Tak semua penyakit yang simptomnya ketara waktu malam / lepas Maghrib, ialah angkara jin/ sihir.

3. Kulit gatal macam dalam gambar tu, dipanggil URTICARIA. Orang Melayu panggil gegata/ gelegata.

4. Punca biasa Urticaria, ialah tindakbalas alahan – DI MAKAN (contoh ubat atau makanan), atau SENTUHAN (contoh pada fabrik baju, cadar, sofa, Atau sabun mandi/ basuh/ bahan kimia tempat kerja dll. Termasuk sentuhan pada bulu haiwan)

5. Terdedah pada cuaca panas, atau sejuk, pun boleh sebab kan Urticaria. Maka cuaca sejuk (selepas Maghrib) boleh jelaskan kenapa Urticaria terjadi berulang ulang lepas Maghrib.

Ditambah pula pakai baju malam yang agak ketat (jadi panas pula kulit).

Sengatan haiwan seperti lebah pun boleh sebabkan Urticaria. Semut gigit pun boleh. Nyamuk gigit waktu Maghrib, pun secara teorinya boleh trigger tindakbalas Urticaria.

Punca Gatal-Gatal Ludah Jin

6. Urticaria boleh juga terjadi tanpa diketahui puncanya. Bukan sebab alahan, bukan sebab perubahan cuaca. Tapi dalam situasi macam ni, ingat, jangan nak fitnah jin dahulu. Selalunya ada trigger (penyebab) terjadi Urticaria yang masih anda belum temui / faham.

Apa jua punca Urticaria, ini yang berlaku kepada badan anda(yang menyebabkan kulit berubah jadi macam tu):

– paras Histamine dalam badan meningkat.
– Histamine yg banyak menyebabkan saluran darah halus di bahagian kulit terlibat menjadi terbuka (open up).
– Saluran darah terbuka ni yg menyebabkan kulit kelihatan kemerahan. Saluran darah terbuka juga menyebabkan bocor (leaking) yang cecair dari saluran darah – cecair ini yang sebabkan bengkak & gatal pada kulit.

7. Urticaria boleh juga terjadi sebab keturunan. So periksalah samada parents atau adik beradik anda hadapi masalah yang sama.

8. Urticaria ada 2 jenis:

i) Acute Urticaria – ruam gatal hilang dalam tempoh kurang 6 minggu. Kalau berulang ulang pun, tak akan lebih 6 minggu.
ii) Chronic Urticaria – ruam on off lebih dari 6 minggu.

9. Untuk kes Chronic Urticaria, pemeriksaan lanjut perlu dibuat untuk cari punca sebenar. Masalah hormon thyroid, masalah jangkitan, masalah hati – ini antara punca lain kenapa Urticaria boleh terjadi secara kronik.

10. Sebagai umat Islam, tadaburlah Surah Jin. Al Quran bukan hanya untuk dibaca, dihafaz, ditaranumkan. Barulah tak cepat melatah semua keadaan yang berkaitan waktu malam atau pelik sedikit salahkan jin.

Antara pengajaran terbesar dari Surah Jin ialah:

“Jin sendiri rasa kagum apabila mendengar bacaan Al Quran oleh Rasul SAW, lantas jin beriman “.

Maka, kalau kita ini dengar Al-Quran dah berpuluh tahun, tapi tak faham, tak tadabur dan tak beramal dengan Al-Quran, maka boleh tak kita kata, kita lebih teruk dari Jin?

Sumber: Facebook: Khairul Faizie