Lembu Dipasang Realiti Maya Hasilkan Banyak Susu

Lembu Rusia Dipasang Set Realiti Maya Demi Hasilkan Lebih Banyak Susu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Teknologi realiti maya (virtual reality) nampaknya semakin berkembang pesat sejak belakangan ini. Namun, ia bukan sekadar dalam dunia permainan kerana turut digunakan dalam bidang perubatan, hartanah dan kini dalam sektor pertanian.

Pernah terbayang haiwan diberi guna set kepala realiti maya? Sebuah ladang ternakan lembu di Moscow, Rusia kini sedang menggunakan teknologi VR pada ternakannya. Ia bertujuan untuk memberikan ketenangan kepada lembu supaya dapat menghasilkan lebih banyak susu.

Ladang ternakan itu bekerjasama dengan pembangun teknologi VR dengan memberi bayangan kepada ternakan mereka seolah-olah berada di padang ragut yang luas dan permai.

Lembu Dipasang Realiti Maya
Sumber: Techspot

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik mendapati, teknologi VR ini mampu mengurangkan rasa gemuruh dan takut, serta mengawal emosi ternakan khususnya lembu bagi menghasilkan susu yang lebih banyak dan berkualiti.

Konsep VR yang digunakan sama seperti dipakaikan kepada manusia, perbezaannya hanya warna yang digunakan dalam video adalah kuning dan biru memandangkan lembu tidak boleh melihat warna hijau dan merah dengan jelas.

Eksperimen ini sudah tentu menjadi perdebatan tetapi boleh dikatakan ia suatu usaha untuk memperbaiki kesejahteraan emosi haiwan-haiwan tersebut. Berlainan pula di Amerika, mereka menggunakan mesin berus yang berputar bagi mengurut lembu supaya ternakan menjadi lebih tenang bagi menghasilkan kualiti dan kuantiti susu yang baik.

Sumber: The Moscow Times