
Lelaki Rempuh Kereta Konon Dilanggar ‘Hilang’ Selepas Diberitahu Ada Dashcam
Scam kemalangan jalan raya yang popular di China mungkin telah menular di sini apabila polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang pada awalnya menghilangkan diri selepas terbabit kemalangan di Klang baru-baru ini.
Tular satu rakaman dashcam di media sosial yang memaparkan seorang pejalan kaki yang didakwa sengaja memalsukan kemalangan kononnya dilanggar kereta.
Menerusi rakaman tersebut, seorang lelaki yang berada di tengah jalan tiba-tiba melintas dan terus berlari melompat ke arah cermin depan kereta tersebut.
Dapat dilihat aksi pelanggaran yang dilakukan lelaki berkenaan telah menyebabkan cermin kereta pemandu retak.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, pengadu yang membuat laporan memaklumkan kepada pejalan kaki itu bahawa keretanya mempunyai rakaman dashcam lalu lelaki tersebut terus beredar dengan kecederaan ringan.
Bertindak atas maklumat, Vijaya Rao berkata, pihak polis telah menahan lelaki berumur 25 tahun itu dan kini direman untuk siasatan lanjut.
Rata-rata netizen yang melihat video terbabit menganggap bahawa lelaki itu sengaja bertindak sedemikian untuk mendapatkan pampasan atau wang secara mudah.
Biasa berlaku di luar negara, kali ini berlaku di Klang. pic.twitter.com/zv0Rgl8Jyd
— MyWatch (@My_CrimeWatch) April 14, 2022
Taktik inilah yang popular di China, yang mana mereka terlibat dalam ‘kemalangan’ lebih selesa untuk menyelesaikannya di luar kerana tidak mahu membuang masa menunggu siasatan dan sebagainya.
Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Dalam pada itu, orang ramai turut menasihati begitu pentingnya pemasangan kamera dashcam di dalam kenderaan kerana mungkin ia mampu menyimpan bukti sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya.
BACA: Bateri Atau Kapasitor: Mana Lebih Berbaloi Untuk Pilih Dashcam?
Sumber: Kosmo