Avatar

Lelaki Meninggal Dunia Akibat Terlalu Syok Dan Teruja Semasa Menonton Filem Avatar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang peminat filem Avatar: The Way Of Water, telah meninggal dunia selepas mengalami apa yang disyaki sebagai ‘serangan jantung akibat keterujaan’ semasa menonton filem itu.

Lelaki yang dikenali sebagai Lakshmireddy Srinu itu dilaporkan pergi menonton filem epik blockbuster arahan James Cameron tersebut di sebuah pawagam yang terletak di daerah Kakinada, selatan negeri Andhra Pradesh, India bersama adik lelakinya.

Srinu dikatakan tiba-tiba rebah semasa menonton babak pertengahan filem berdurasi tiga jam itu. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kerajaan Peddapuram di mana dia disahkan meninggal dunia.

Dr Sanjeev Gera, Pengarah Hospital Fortis, Noida, memberitahu akhbar The Hindustan Times apa yang dialami oleh Srinu itu sebenarnya merupakan satu serangan jantung.

“Disebabkan oleh stres, peningkatan tekanan darah seperti yang berlaku dalam kes ini, arteri jantung boleh pecah dan itu boleh menyebabkan serangan jantung terjadi secara tiba-tiba,” jelasnya.

Dr Pradeep Kumar D dari Hospital Aster CMI, pula menambah, “Ini mungkin disebabkan oleh plak pada koronari yang pecah atau arrhythmia yang tercetus akibat keterujaan berlebihan.

“Kematian seperti ini biasanya berlaku semasa berlangsungnya sesuatu perlawanan menarik atau situasi emosi yang menyebabkan keterujaan. Filem itu sahaja tidak mungkin boleh menyebabkan kematian,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 42 tahun di Taiwan juga telah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menonton filem pertama Avatar pada 2010.

Dia dikatakan mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan kejadian tersebut berlaku dipercayai akibat ‘terlalu teruja menonton filem’.

Avatar

BACA: Ulasan Filem – Avatar: The Way Of Water, Penantian 13 Tahun Yang Sangat Berbaloi!

Sumber: Metro