
Lelaki Ini Terangkan Siapa Sebenarnya Taliban & Kenapa Mereka Ditakuti
Siapa sebenarnya Taliban?
Dua hari lalu, dunia menerima perkhabaran Afghanistan sudah pun berjaya menakluk istana presiden selepas 10 hari melancarkan serangan mengejut.
Keadaan menjadi kucar kacir dengan cubaan rakyat Afghanistan yang mahu lari daripada berada di bawah pemerintahan Taliban sehinggakan ada antara mereka yang seakan hilang kewarasan sehingga sanggup memanjat pesawat yang bergerak berlepas dari lapangan.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapa sebenarnya Taliban. Lelaki ini meringkaskan siapa sebenarnya Taliban di dalam satu hantaran ringkas di Facebooknya, Syed Mohd Radhi semalam.
Berpeluang mendapat taklimat mengenai keadaan di Afghanistan oleh Dr Muhammad Haroon Khatibi, orang kuat badan bukan kerajaan (NGO) Afghan Societty for Social Reform and Development.
Afghan Societty for Social Reform and Development yang beribu pejabat di Kabul ditubuhkan pada tahun 2004 yang mana gerak kerjanya dibiayai oleh ilmuan dan tokoh-tokoh perniagaan dari negara tersebut.
Menurut Syed Mohd Radhi, kumpulan Taliban mula memasuki kota Kabul secara aman. Sekiranya ada pertempuran, ia adalah sangat minima dan secara praktiknya Taliban telah menguasai seluruh Afghanistan.

Kemungkinan ketakutan yang dihadapi rakyat Afghanistan adalah susulan daripada imej yang dibawa Taliban semasa kumpulan ini memerintah Afghanistan pada tahun 1996 hingga 2001.
Pada ketika itu, Taliban amat keras terhadap rakyatnya sendiri dengan melaksanakan peraturan secara paksa serta bersikap eksklusif menolak dan memerangi kumpulan Afghan yang lain sehingga diibaratkan sebagai kumpulan ISIS.
Pembentukan Taliban
Taliban dibentuk sekitar 1994 oleh Mullah Omar daripada kalangan pelajar-pelajar aliran ‘Deobandi’; aliran pembelajaran ilmu-ilmu Islam yang berpusat di Madrasah Darul Uloom di bandar Deoband, India yang bukan sahaja masyur di India, tetapi juga di Pakistan dan Afghanistan.
BACA: Berdamai Dengan AS, Wanita Afghanistan Bimbang Jika Taliban Kembali Berkuasa
Antara sebab Taliban ditubuhkan adalah kerana masyarakat mula kecewa dengan kumpulan mujahiddin Afghanistan yang mula berperang sesama sendiri selepas Soviet diusir.
Pada 1996, kumpulan mujahiddin lain berjaya diusir dan kumpulan Taliban menguasai hampir keseluruhan Afghanistan sehinggalah pada tahun 2001, Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran dan berjaya menakluk Afghanistan dengan alasan bahawa Taliban melindungi Osama bin Laden selepas serangan 11 September.
Aliran Deobandi
Walaupun ada yang beranggapan aliran Deobandi adalah aliran salafi, tetapi sebenarnya berbeza dengan aliran salafi Arab yang lebih keras.
Biarpun aliran Deobandi tegas dalam beragama, mereka lebih meraikan realiti setempat dan tegas dengan hujah, bukan dengan paksaan.
Antara ulama tempatan yang dikatakan mendapat pendidikan daripada aliran Deobandi adalah Allayarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Maulana Asri selain daripada kumpulan Tabligh yang turut mempunyai jalur asal daripada aliran ini.
Bukan golongan ekstremis
Oleh itu, beliau menyimpulkan Taliban bukanlah daripada golongan ekstremis agama dan mereka tidak berada dalam senarai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat.
Atas dasar sudah hidup berpuluh tahun dalam peperangan sejak kekejaman Soviet, tidak sukar untuk Taliban kembali berlembut berbanding tampil dengan imej keras dan memaksa seperti yang dibawa pada tahun 1996 hingga 2001.
Menurut Dr. Khatibi, Taliban hari ini bukanlah Taliban yang semalam kerana Taliban hari ini membawa harapan dan imej baharu biarpun masih memakai serban dan jubah yang sama yang juga merupakan pakaian tradisi orang Afghan.
Taliban hari ini lebih menunjukkan sikap jauh lebih berdiplomatik sejak beberapa tahun lalu.
Buktinya sebaik menguasai Kabul, Taliban mengisytiharkan pengampunan kepada semua pihak, melarang tenteranya memasuki mana-mana rumah persendirian dan mengajak wanita untuk menyertai kerajaan baru.
Taliban juga belajar bahawa Afghanistan tidak boleh hidup dalam isolasi dan disebabkan itu Taliban telah mengadakan hubungan diplomatik dengan beberapa negara Arab termasuk Qatar, Iran, China dan Rusia.
Malah mereka juga mengadakan hubungan dengan kumpulan-kumpulan Islam yang lain seperti HAMAS dan Jamaati Islam yang menganggap Taliban versi dahulu adalah lebih bahaya daripada komunis.

Dalam sidang akhbar pertama selepas menguasai Kabul, Afghanistan, yang diadakan pada 17 Ogos lalu, jurucakap Taliban, Zahibullah Mujahid berkata daripada segi ideologi dan kepercayaan adalah sama dengan Taliban dahulu kerana mereka tetap Muslim tetapi ia berubah kerana pengalaman dan kini memiliki perspektif yang berbeza.
Sumber:
Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
Lembaga Pemegang Amanah
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Trending now



