
Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Disoal Makcik Pakcik Bawang Tentang Kerjanya Di Dalam Kenduri Kahwin. Pedih Ulu Hati Melayan
Baru-baru ini viral di media sosial tentang adab bertanya tentang pekerjaan seseorang itu ketika berada di dalam majlis.
Kesinambungan daripada Tweet ini, ramai netizen yang mengulas akan kebenarannya. Tak kurang juga yang kurang bersetuju tentang hal ini.
Seorang pengguna Facebook bernama Syahr Musafir turut berkongsi pandangan beliau. Kalau ikutkan betul juga kata beliau. Jom kita ikuti kisahnya.
Menjadi tetamu dalam kenduri kahwin, ada beberapa kali perbualan yang saya ingat.
Sajalah nak kongsi.
Sedang duduk makan seorang diri berbaju batik, ada beberapa orang lelaki dan perempuan saya mengagak mereka ini sebuah keluarga datang duduk di meja saya memandangkan saya seorang saja.
Selepas berkenalan sikit-sikit, pak cik ini bertanya, “Dah kerja?”.
“Ya, saya. Kerja”, jawab saya.
“Nampak muda lagi. Mengajar ye?”, soal makcik di sebelah pula.
“Ya, saya”, saya jawab ringkas. Dalam kepala terfikir juga macam mana makcik tahu pekerjaan saya.
“Ustaz datang seorang saja?”, soal pakcik pula.
La, baru saya teringat, ‘mengajar’ di Kelantan ni istilah untuk ustaz-ustaz mengajar agama.
“Eh. Saya bukan Ustaz, pakcik”, saya cuba nak membetulkan tetapi belum sempat habis bercakap, terus dicelah oleh makcik pula.
“Cikgu la ye?”, soal makcik.
“Eh, Cikgu pun bukan”, baru saya nak jawab, pakcik pula mencelah.
“Takpalah kalau macam tu”, jawab pakcik sambil menyuap nasi ke mulut dan memandang ke arah pelamin yang tersergam indah. Muka macam kelat dah, tak nak sembang dah dengan saya.
Saya ni segan nak bercakap banyak. Dah jadi macam ni, nak cakap banyak pun serba-salah dah.
Pernah situasi lebih kurang sama, saya terus jawab, “Saya mengajar di universiti tu”, setelah mereka tahu saya bekerja di USM.
Dan pakcik yang bertanya tu terus beri jawapan, “Oh, Ustaz beri ceramah di Hospital USM tu ke, atau menasihati bab agama kepada para pesakit ye?”.
Aduhai, tetap dianggap ustaz.
Dan pernah saya terus-terang awal tu terus beritahu, “Saya pensyarah di universiti”.
Abang dan kakak yang bertanya tu tanya pula, “Pensyarah tu kerja apa?”.
Alkisahnya, lain orang lain responnya.
Ada suatu kali itu dalam majlis kenduri, orang bertanya tentang kerja di mana, saya beri jawapan ringkas, “Kerja di Kubang Kerian”.
Abang dan kakak yang bertanya tu pun terus buat muka macam jawapan saya ni salah atau menjengkelkan pandang saya atas bawah atas bawah macam saya buat salah, macam ni pun ada.
Bukan apa, saya tak mahulah bercerita lebih-lebih. Sejenis tak reti sembang.
Ada suatu ketika tu orang bertanya, kawan saya terus beritahu, “Ini orang hebat ni, pakcik. Ada PhD bidang Perubatan dah. Umur baru 28 ni”, memberi perkenalan pasal saya kepada orang tak dikenali yang bertanya.
“Oh bagus. Gaji berapa puluh ribu sebulan ni?”, begini pula soalan seterusnya yang terpacul keluar dari mulut pakcik yang bertanya tadi.
Kawan saya terkujat. Tak kata apa-apa.
Saya sengih terus beri jawapan, “Tak adalah, pakcik. Kawan saya seloroh je tu”.
Pakcik tu pun macam malas dah nak sembang, nak buat macam mana gaji sikit je memang bukan puluh ribu.
Dan ada suatu kali tu saya datang bersama isteri dengan anak-anak (ketika itu 3 orang) yang masih kecil, ditegurnya kerja apa, saya jawab, “Kerja di USM”, secara ringkas.
Abang tu beri respon, “Bukan doktor kan?”.
Awal-awal lagi kata macam tu, saya rasa segan dah. Teruslah beri jawapan, “Kerja biasa je”.
“Patutlah. Kalau doktor, biasanya anak tak ramailah”, isterinya mencelah, sambil meletak tangan atas meja nampaklah bling-bling gelang emas sebesar rantai jangkar buritan kapal laut.
Mereka datang bersama 2 orang anak, dah besar-besar dah agaknya umur remaja belasan tahun.
Agak-agak saya jawab apa?
Betul tu, saya tak jawab apa pun. Sekadar senyum je. Anak masa tu 3 orang je, bukan 10.
Saya ni mudah saja, orang tanya apa pun saya tak beria nak beri jawapan panjang. Bukan malas, tetapi tak nak berlebih.
Orang salah faham itu terhadap saya itu saya rasakan lebih baik daripada orang rasa saya ni membangga diri. Biar je lah.
Sebab itulah saya kalau jumpa kawan-kawan, saya tanya khabar je. Tanya sihat ke, mak ayah macam mana, sekarang tinggal mana, habis.
Kalau orang tak kenal, bersembang pasal dah makan ke, lama dah ke sampai, kenal pengantin lelaki atau perempuan, habis. Tak reti sembang panjang mana.
Saya pun tahu saya ni tak reti sembang dan mungkin disebabkan itu ada kata-kata saya yang boleh menyebabkan orang lain sakit hati ke, kecil hati atau rasa saya ni annoying.
Saya sedar diri, sebab pernah berlaku saya tak berniat negatif tetapi saya salah perkataan yang boleh dianggap negatif. Biasalah, saya pun manusia biasa.
Jadi duk diam sajalah. Kalau orang tanya, kita jawab. Pandai-pandailah.
Wajibnya orang cakap apa pun saya tak ambil hatilah. Biar je. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Kalau mereka respon positif, syukur. Kalau mereka kata negatif pun saya terima je. Sabar. Redha.
Tak ambil hati pun tapi eh, satu-satu tu saya ingat. Tak lupa.
Cuma yang pasti orang baik-baik yang tanya baik-baik, jawab baik-baik dan sembang baik-baik lebih ramai daripada segelintir yang tak baik atau kurang menyelesakan.
Alhamdulillah syukur. Masyarakat kita ni ramai yang berbudi-bahasa. Sembanglah pasal kuih pun kalau itu yang paling sesuai.
BACA: Pasangan Ini Cipta Sejarah Anjur Majlis Perkahwinan Secara Pandu Lalu Pertama Di Malaysia
Sumber: Syahr Musafir