
Lelaki Ini Bongkar Taktik Kotor Sesetengah Penjual Komputer Refurbished Yang Ramai Terjerat
Komputer refurbished?
Refurbished merupakan terma untuk produk yang sudah digunakan kemudiannya diubah suai sebelum diuji dan dijual ke pasaran dengan sasaran pembeli tertentu.
Dengan harga jauh lebih murah daripada biasa, produk refurbished menjadi pilihan sesetengah pihak yang tidak memiliki bajet yang besar.
BACA: ‘Scammer’ Yang Pernah Tersenarai Dalam 400 Orang Terkaya Di Amerika Syarikat
Terutamanya di saat institusi pendidikan tidak dapat dibuka dan kaedah pengajian dilakukan secara sepenuhnya secara dalam talian.
Namun sejauh mana produk refurbished dibuktikan bagus dan mampu membuatkan pengguna berjimat?
Salah seorang pengguna Facebook, Azhar Ibrahim tampil menyuarakan mengenai isu ini.
Menurut beliau ada sesetengah penjual yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas kesempitan mereka yang tidak mampu membeli produk baru.
Sebagai contoh, ada produk yang dirujuk beliau dalam hantaran tersebut ialah komputer riba dibeli dengan harga lelong secara borong daripada pejabat-pejabat tempatan atau antarabangsa, yang kemudiannya dijual semula dengan harga tidak masuk akal.
Malah ada yang menggunakan pemproses generasi pertama hingga ketiga yang mana perkakasannya sudah ketinggalan zaman, namun tetap dijual dengan harga semurah RM900.
Kemudiannya, jika pembeli mahu menaik taraf SSD (solid-state drive) nilai tambahan akan dikenakan biarpun perkakasan lama sememangnya perlahan jika menggunakan HDD (hard-disk drive) biasa.

Tidak termasuk lagi SSD yang kononnya berjenama, tetapi sebenarnya produk ‘timbang kilo’ yang mana kalau digunakan selepas tamat tempoh sebulan jaminan, ia sudah pun tidak berguna.

Tegasnya lagi, tidak semua penjual menggunakan taktik kotor ini dalam menjual produk refurbished. Mungkin sebagai pengguna, kita boleh menyelidik dahulu sebelum membeli produk refurbished seperti komputer.
Dan sebagai penjual, jujurlah dalam urusan penjualan anda.
Sumber: Azhar Ibrahim
Trending now



