
Lelaki Ditahan Polis Gara-Gara Cubaan Seludup KFC Ketika Tempoh PKP
Lelaki Ditahan Polis Gara-Gara Cubaan Seludup KFC Ketika Tempoh PKP.
Cubaan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik bukan sahaja berlaku di Malaysia. Namun, setiap situasi yang berlaku mempunyai latar belakang cerita yang berbeza.
BACA: Gagal Rentas Daerah Dengan Berenang, Lelaki Ini Kantoi Buat Cubaan Kedua Guna Rakit Gabus
Dua lelaki di New Zealand ditahan polis gara-gara cubaan menyeludup ayam goreng KFC atas sebab melanggar PKP COVID-19 di sana.
Kenderaan mereka yang ditahan pihak berkuasa menemukan tiga kotak besar ayam goreng, 10 kotak coleslaw dan kotak kentang goreng yang banyak serta wang tunai berjumlah 51,000 pound (RM291,567).
Mengikut penguatkuasaan yang dijalankan di negara itu iaitu dibawah tahap empat PKP, semua restoran dan kafe termasuk perkhidmatan membungkus makanan ditutup.

Akibat tindakan tersebut, mereka yang berusia 23 dan 30 tahun itu boleh dikenakan denda melebihi 2,000 pound (RM111,434) atau penjara selama enam bulan jika didapati bersalah.
Kedua-dua lelaki terbabit ditahan ketika dalam perjalanan dari Hamilton, kira-kira 120 kilometer di Selatan Auckland.
Suspek ditahan selepas polis menyedari sebuah kenderaan yang mencurigakan di pinggir bandar.
“Sewaktu mereka melihat kereta polis, kenderaan itu melakukan pusingan U dan cuba memecut laju.
“Kenderaan itu diperiksa dan polis menjumpai sejumlah wang tunai dan makanan yang dibungkus,” kata jurucakap pihak berkuasa.
Dalam pada itu, New Zealand yang sebelum ini mampu menghapuskan COVID-19 beberapa bulan lalu mengatakan kemungkinan tidak dapat kembali mencatatkan sifar kes dalam komuniti sejak penularan varian Delta berlaku di negara itu.
“Meningkatkan kadar vaksinasi lebih 90 peratus…itu sama sekali cara baharu untuk kita kembali kepada kebebasan yang kita miliki dahulu.” kata Ashley Bloomfield, Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand.
Sumber: The Guardian
Trending now



