hantavirus China

Lelaki Di China Maut Akibat Hantavirus Cetus Panik Penduduk Dunia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ketika penularan pandemik COVID-19 sedang membadai negara dan dalam masa yang sama wabak ini mengalami penurunan di China, seorang rakyat di negara itu dilaporkan maut akibat penyakit berjangkit lain iaitu hantavirus.

Menerusi laporan akhbar The Global Times berkata, lelaki terbabit dari wilayah barat daya China, Yunnan.

“Seorang lelaki dari wilayah Yunnan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang untuk bekerja di wilayah Shandong. Dia menaiki sebuah bas cartar pada Isnin,” ciap akhbar berkenaan.

Laporan itu turut menyebut susulan kejadian, 32 penumpang lain di dalam bas juga diarah menjalani ujian saringan. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan keputusan ujian itu.

Melihat pada berita ini, netizen seluruh dunia panik kerana belum habis bertarung dengan pandemik COVID-19, muncul pula dengan virus yang lain.

Bagaimanapun, kita tidak perlu khuatir dengan hantavirus yang dikesan di China ini kerana penyakit berjangkit itu bukanlah kali pertama wujud seperti koronavirus baharu ini.

Walaupun negara-negara lain termasuk Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana ketidakpastian keberadaan virus COVID-19 ini, tidak ada petunjuk bahawa hantavirus menimbulkan ancaman kesihatan awam dunia.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention US (CDC), kes penyakit berjangkit hantavirus adalah jarang berlaku dan ia dipindahkan kepada manusia daripada spesies tikus rusa sama ada menerusi sentuhan langsung, najis, air liur, sarang tikus atau menghidu debu dijangkiti virus berkenaan.

hantavirus China

Seperti yang diterangkan Ahmad Wazir Aiman yang merupakan seorang doktor, hantavirus bukanlah satu kumpulan virus yang baharu. Virus itu kali pertama dikenal pasti di empat wilayah di barat daya Amerika Syarikat pada 1993.

Seperti virus denggi, hantavirus adalah sejenis penyakit bawaan vektor (vector-borne disease), cuma hantavirus ini adalah bawaan tikus bukan nyamuk. Ia tidak merebak dari manusia ke manusia (kecuali spesies Andes virus, terhad di benua Amerika selatan). Perbezaan geografi dan juga spesies tikus di kawasan tersebut akan merekodkan spesies hantavirus yang berbeza-beza.

Jangkitan ini boleh menyebabkan dua komplikasi yang cukup berbahaya iaitu pendarahan dalam paru-paru (HPS) dan juga demam berdarah yang boleh mengakibatkan gangguan buah pinggang (HFRS).

Kaedah penyebaran atau bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti virus ini adalah melalui pendedahan kepada najis tikus yang telah dicemari hantavirus atau terhidu virus hidup yang telah meruap (aerosolised) daripada najis tikus.

Langkah pencegahan terbaik untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan ini adalah untuk menghapuskan habitat tikus dan elakkan diri daripada terdedah kepada binatang tersebut.

Sumber: USA Today, Ahmad Wazir Aiman