Bertelekung

Lelaki Bertelekung Mengaku Salah Curi ‘Handphone’ Jemaah Masjid Di Sekitar Shah Alam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Lelaki bertelekung yang mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua buah masjid di Shah Alam baru-baru ini telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, dilaporkan telah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali.

Walau bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial tertuduh.

Dia didakwa mencuri dalam bangunan dengan melarikan dua telefon bimbit milik dua wanita warga emas.

Kejadian dilaporkan berlaku secara berasingan di Masjid Al-Azhariah dan Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18 Shah Alam, pada 6.25 pagi dan 8.50 malam, 20 Disember yang lalu.

Sebelum ini, perbuatan tertuduh dikesan menerusi satu video tular yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki bertelekung memasuki ruang solat wanita untuk mencuri.

Tertuduh juga menggunakan taktik yang sama di lokasi yang lain iaitu dengan memakai telekung putih untuk memasuki ruangan jemaah wanita.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.

Pendakwaan juga menawarkan kos ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam walau bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan untuk pengurangan kos jaminan.

Majistret membenarkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Bertelekung

BACA: Sasar Golongan Wanita Di Masjid, Orang Ramai Diminta Waspada Taktik Baharu ‘Kaki Pau’

Sumber: FMT