PRN Johor

Leher Kena Lilit Tali Bendera, Remaja Tanggung Derita Kedua-Dua Tangan Patah Akibat Jatuh Motor

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang kini rancak dengan perang poster dan bendera dilaporkan telah mengundang bahaya pengguna jalan raya.

Pemasangan bendera parti yang diletakkan berhampiran dengan jalan raya tanpa mengira aspek keselamatan pengguna jalan raya ditegur oleh masyarakat setempat.

Seorang remaja dilaporkan telah patah kedua-dua belah tangannya dan mengalami luka di leher selepas terjatuh dari motosikal akibat terkena bendera yang dipasang oleh parti bertanding.

Bendera atau sepanduk sepanjang lebih kurang 30 meter yang dipasang di tepi jalan raya itu dipercayai terlilit leher mangsa sehingga mengakibatkan dia terjatuh.

Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang pada 2 Mac lalu di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Scientex keesokan harinya.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PRN Johor

Bapa mangsa, Md Shahril Mahmood, 43, berkata, anak sulungnya itu yang dikenali sebagai Najlaa, 17, dalam perjalanan pulang dari kedai ke kediaman keluarga yang terletak di Taman Kota Masai.

Ketika menggunakan laluan di perkampungan itu, bendera panjang yang dipasang di tepi laluan terlilit leher Najlaa sehingga mengakibatkan dia terjatuh daripada motosikal yang dinaikinya.

“Anak ketika itu menunggang motosikal berseorangan dan bendera parti dipasang di antara dua pokok terkena muka serta terlilit leher anak akibat angin kencang hingga menyebabkan kemalangan,” jelas beliau.

“Dia terjatuh dan patah kedua-dua pergelangan tangan selain lehernya juga mengalami kecederaan ringan,” tambahnya lagi.

“Anak kami mungkin menanggung kesan seumur hidup akibat kedua-dua pergelangan tangan patah dan kami bimbang ia menjejaskan masa depannya. Dia masih menanggung derita dan kesakitan akibat kecederaan dialaminya itu.

“Sudah tentu sebagai ibu bapa kami bimbang memikirkan masa depannya,” ujar beliau yang turut menjelaskan bahawa Najlaa juga dikehendaki untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada pertengahan bulan ini.

Shahril juga menjelaskan anaknya yang bercita-cita untuk berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan pada masa hadapan mungkin terpaksa menerima hakikat perubahan kesihatan fizikalnya.

Tambah Shahril lagi, “Saya bukan memfitnah atau mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak, namun saya berharap kejadian seumpama ini tidak berulang.”

1 PRN Johor

Keluarganya juga bercadang untuk merujuk kejadian menimpa anaknya ke Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dalam tempoh terdekat.

“Sehingga kini, ada beberapa calon yang bertanding di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Tiram mengambil berat berkaitan anak, namun PBT tidak menghubungi kami,” tambah Shahril.

Hanya beberapa hari sahaja lagi PRN Johor akan berlangsung, namun Harian Metro setakat ini masih belum melaporkan apa-apa kenyataan atau permohonan maaf rasmi yang diterima dari mana-mana pihak.

Sumber & kredit foto: Harian Metro 1, 2