
Lee Chong Wei Secara Rasmi Gantung Raket
Memasuki dunia sukan badminton sejak 19 tahun mengabdikan diri sebagai pemain badminton, akhirnya Datuk Lee Chong Wei telah mengumumkan persaraannya.
Pengumuman persaraanya daripada sukan itu atas faktor kesihatan.
Jaguh badminton perseorangan lelaki negara yang disahkan menghidap penyakit kanser hidung tahun lalu berkata keputusan itu diambil selepas pemeriksaan perubatan terbaru dilakukan di Taiwan.
Beliau memberitahu Persatuan Badminton Malaysia yang mana bekas pemain nombor 1 dunia itu mahu meluangkan lebih masa dengan keluarga.
Beliau sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lepas bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

“Kita buat keputusan selepas Hari Raya (Aidilfitri) akan bersara dan ia keputusan yang amat berat kerana saya sayangkan sukan ini.
“Kesihatan lagi penting, saya sudah jumpa Syed Saddiq dan Mohamad Norza mengenai perkara ini sebelum berehat sebulan sebelum ini.
“Terima kasih kepada media, ini mungkin sidang media saya yang terakhir. Media banyak bantu, rakyat Malaysia juga banyak beri sokongan serta semua kakitangan BAM,” katanya semasa sidang media persaraannya di Menara KBS.
Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.
Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.
Maka, hilanglah sebutir lagi permata negara dalam dunia sukan. Diharapkan, persaraan bekas jaguh badminton ini meniupkan semangat kepada atlet-atlet sukan lain dalam mengharumkan nama negara di mata dunia.
BACA: Nicol David Secara Rasmi Gantung Raket
Sumber: Astro Awani
Trending now



