
Lebih Banyak Pertumpahan Darah Dijangkakan Dalam Musim Ke-3 ‘The Penthouse’
Lebih banyak pertumpahan darah dalam The Penthouse?
Mencipta fenomena luar biasa semasa musim satu dan dua, ramai yang menjangkakan siri ketiga drama Korea Selatan The Penthouse: War of Life akan adanya lebih banyak plot twist serta pertumpahan darah.
Menggambarkan solidariti dan dendam kaum wanita yang tiada pilihan selain daripada menjadi kejam untuk melindungi apa yang mereka ada, penonton semakin menjadi tidak sabar apabila pihak produksi memuat naik sesi pembacaan skrip di media sosial.
Dibintangi Lee Ji Ah, Kim So Yeon, Eugene, Uhm Ki Joon, Yoon Joon Hong, Shin Eun Kyung, Bong Tae Kyu dan Yoon Joo Hee sebagai barisan utama, filem arahan Joo Dong Min dan ditulis oleh Kim Soon Ok ini dijangkakan akan terus mencipta rating yang tinggi pada setiap episodnya.
Apa yang boleh dijangkakan dalam musim ketiga The Penthouse?
1. Min Seol Ah kembali?
Dalam satu klip teaser yang dimuat naik penerbit SBS, ada ditunjukkan beberapa item yang menjadi ‘simbol’ drama ini antaranya trofi milik Cheong Ah dan tatu rama-rama yang menjadi milik Min Seol Ah.
Jika dilihat dalam sejarah The Penthouse, ada beberapa watak yang kononnya mati secara ajaibnya kembali hidup semula.
2. Takdir Logan Lee
Musim kedua drama ini paling banyak mencetuskan kontroversi dan tanda tanya dalam kalangan penonton terutamanya pada takdir Logan Lee lakonan Park Eun Seok.
BACA: Takdir Logan Lee Dalam ‘The Penthouse’ Musim Ke-3
Logan Lee merupakan salah satu karakter yang sentiasa menjadi sebutan tiap kali beliau muncul dalam babak-babak drama ini.
Menjadi simbol watak antagonis, Logan Lee bagaimanapun seakan menjadi harapan penonton dalam membantu watak Shim Su Ryeon lakonan Lee Ji Ah untuk membalas dendam.
3. Kehidupan di dalam penjara
SBS ada menunjukkan kehidupan beberapa watak di dalam penjara lengkap dengan memakai uniformnya.
Dalam klip pendek itu, dapat dilihat mereka cuba untuk hidup di penjara yang sebelum ini merupakan lokasi asing untuk masing-masing.
Mampukah Ha Yoon Cheol, Lee Gyu Jin, Kang Ma Ri , dan Go Sang A bertahan?