
Lebih Baik Gaji Rendah Daripada Tiada Kerja – Menteri Sumber Manusia
Mengulas isu pengangguran yang berlaku kini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata adalah lebih baik ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja.
Tambah beliau, semua golongan termasuklah golongan profesional yang hilang pekerjaan perlu merebut apa sahaja peluang pekerjaan memandangkan keadaan ekonomi kini yang tidak menentu.
“Saya menasihatkan kepada semua warga Malaysia terima sajalah apa juga pekerjaan, walaupun ada pemotongan gaji sebab keadaan hari ini luar biasa.
Lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja, dengan program-program dan rancangan khas yang dijalankan oleh kerajaan, saya bagi jaminan keadaan akan beransur pulih.
Tetapi sehingga keadaan berubah, kita perlu berpegang kepada apa jua peluang pekerjaan sedia ada, walaupun ada juga keadaan mengurangkan gaji dan sebagainya. Tetapi ini hanya sementara.”
Jun lalu kadar penggangguran negara menurun sebanyak 0.4% membawa kepada jumlah 773,200 orang (4.9%) berbanding 826,100 (5.3%) pada Mei.

Pada April 2020, kadar pengangguran Malaysia dikatakan meningkat kepada 5.0% berbanding tempoh sama tahun lalu kerana penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKP menyebabkan sektor ekonomi negara mengalami kerugian. Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin mendedahkan jangkaan kerugian ekonomi yang dihadapi Malaysia mencecah RM100 bilion.
BACA: Jangkaan Kerugian Ekonomi Malaysia Sepanjang PKP Mencecah RM100 Bilion
Sumber: Astro Awani