
Lebih 40 Tahun Kartel Seludup Daging Import Dari Sumber Tak Sah
Lebih 40 Tahun Kartel Seludup Daging Import Dari Sumber Tak Sah.
Sejak awal Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) giat membongkar sindiket seludup daging import dari negara sumber yang tidak sah yang kemudiannya ‘dihalalkan’ dengan cara menampal cop palsu pada kotak daging.
BACA: Sindiket Seludup Daging Import Haram Guna Taktik Bungkus Semula Produk Terbongkar
Sumber terbaharu mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import berkenaan dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Pegawai yang terlibat di rasuah dengan wang ringgit dan habuan berlibur sebagai tiket melepaskan daging import terbabit tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Sindiket ini telah beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu dan yang membuatkan kegiatan mereka sekian lama belum terhidu disebabkan mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur.
Dari loji penyembelihan hingga pintu masuk di pelabuhan, semuanya dirancang dengan begitu teliti untuk memudahkan urusan kegiatan mereka.
Malayia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan menerusi rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Selain mendapatkan bekalan dari negara sumber yang diluluskan, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.
Sumber mendedahkan, penyeludupan daging import sejuk beku diragui statusnya yang dibungkus semula di negara ini dan ditampal tanda halal palsu sebenarnya sudah lama berlaku, didalangi syarikat milik bukan Bumiputera yang membentuk kartel menggunakan beberapa syarikat Bumiputera sebagai proksi.
Daging sejuk beku dari sumber tak sah lebih murah dan untung besar
Kartel cenderung membawa masuk daging sejuk beku yang diragui status halal kerana memperoleh pada harga lebih murah, sekali gus dapat meraih keuntungan lebih besar.
Malah, daging sejuk beku itu juga sebenarnya daripada pelbagai ternakan seperti kerbau dan kuda walaupun dilabel daging lembu dengan kaedah sembelihan diragui termasuklah ternakan yang ada masalah kesihatan.
Syarikat proksi guna nama berunsur Islam
Syarikat proksi ditubuhkan kartel pembekal daging sejuk beku di negara ini, dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.
Malah ada pembekal disyaki mencuri maklumat dan data individu Bumiputera, khususnya Melayu untuk didaftarkan sebagai pemilik syarikat proksi ditubuhkan.
Sumber: BH