
Lebih 30 Ribu Kakitangan Industri Perhotelan Hilang Pekerjaan, 10 Ribu Lagi Dipaksa Cuti
Akibat penularan wabak pandemik COVID-19, industri pelancongan menyaksikan kejatuhan mendadak termasuklah industri perhotelan. Di Malaysia sahaja, lebih 30 ribu kakitangan industri perhotelan hilang pekerjaan dalam tempoh ini dan 10 ribu lagi dicutikan tanpa gaji.
Tindakan ini terpaksa diambil susulan ketiadaan pendapatan malah ada juga yang terpaksa menamatkan operasi.
BACA: Minta Pekerja Ambil Cuti Tanpa Gaji, Hotel Besar 5 Bintang Umum Henti Operasi Hingga Akhir Tahun
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata kakitangan industri perhotelan terpaksa berdepan risiko dipotong gaji, bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan paling teruk dibuang kerja.
Mendedahkan lebih 30 ribu kakitangan hilang pekerjaan, 10 ribu dicutikan tanpa gaji dan enam ribu dipotong gaji, Abdul Halim mencadangkan agar industri pekerjaan negara perlu menghentikan kebergantungan kepada warga asing dan mengutamakan rakyat tempatan supaya kumpulan yang terjejas ini boleh mengisi kekosongan yang ada.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi GiatMara turut mencadangkan agar kakitangan diberikan kursus kemahiran di GiatMara atau pun kolej kemahiran berkaitan untuk menjadi usahawan dan dapat menukar profesion.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rusli Affandi berkata agak sukar industri perhotelan untuk bangkit semula dalam masa terdekat kerana Malaysia masih mengamalkan sekatan kawalan sempadan membabitkan tetamu antarabangsa.
Rusli bagaimanapun tidak bersetuju dengan anggaran yang didedahkan MTUC kerana anggaran sebenarnya hanyalah satu pertiga daripada jumlah tersebut. Menyifatkan pendedahan tersebut sebagai sesuatu yang boleh mencetuskan rasa panik, Rusli memberitahu yang beliau tahu hanya tujuh buah hotel sahaja yang ditutup disebabkan pandemik ini.
Seorang pengusaha sebuah chalet, Datuk Ruslee Hashim sendiri terpaksa bertukar kepada bidang penternakan haiwan seperti ikan air tawar, lembu, rusa dan kambing bagi kelangsungan hidup selain daripada memastikan resort yang dibangunkan tidak terbiar begitu sahaja.

26 Mei lalu, FMT melaporkan Pengarah Eksekutif Pesatuan Pemilik Hotel Malaysia, Shaharuddin M Saaid mendedahkan ramai pemilik hotel mahu menjualkan hartanah mereka susulan daripada tiada pendapatan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Setakat ini sudah 20 buah hotel telah ditutup dan menurut Shaharuddin, ini bukanlah satu perkembangan yang mengejutkan kerana dalam beberapa minggu belakangan ini, beberapa hotel yang tidak dinamakan termasuklah hotel lima bintang turut tersenarai untuk dijual di laman web iProperty.
Sumber: Harian Metro