
Lebih 200 PATI Rohingya Ditahan Sengaja Bocorkan Bot, Rosakkan Enjin Bagi Elak Diusir
Belakangan ini, isu pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya semakin menjadi tumpuan hangat negara walaupun isu ini telah lama berakar umbi.
Terbaharu, seramai 269 Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan awal pagi tadi dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki PATI itu.
National Task Force (NTF) dalam kenyataan semalam berkata semua mereka ditahan pada kira-kira 5 pagi hasil maklumat pegawai pemerintah maritim operasi polis Langkawi beberapa jam sebelum itu.
Sebuah bot polis marin (PPM) dan kapal maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran bot terbabit ke perairan antarabangsa.
Pemeriksaan mendapati bot berkenaan sengaja dibocorkan manakala enjin turut mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat dibaiki supaya dapat mendarat ke perairan negara, seterusnya tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.
Sehubungan itu, KM Kimanis memberikan bantuan makanan dan air bersih yang secukupnya kepada Pati berkenaan. Menurut kenyataan itu, atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.

Difahamkan, ketika KM Kimanis menghampiri bot tersebut, 53 Pati terjun ke laut kemudian berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka berjaya ditahan APMM yang bersedia di daratan.
NTF memaklumkan, semua PATI Rohingya itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.
“Semua 269 pendatang tanpa izin itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala mayat itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan rekod, seramai 396 orang Pati, 108 orang tekong dan 11 orang penyeludup ditahan, manakala seramai 140 Pati, enam orang tekong dan 22 buah bot diusir ketika cuba memasuki sempadan negara secara haram.
BACA: Tekong Bawa Masuk 250 PATI Setiap Bulan, Terima Bayaran RM750 Seorang Sejak Dua Tahun Lalu
Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk terus memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti anasir asing sama ada membabitkan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-62511223).
Sumber: BH