KJ Ganja Thailand

Lawatan Sambil Belajar KJ Ke Thailand, Khabar Gembira Kini Menanti Buat ‘Mat Ganja’?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Beberapa hari yang lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) telah memulakan lawatan kerja bilateral kesihatan empat hari ke Thailand bagi meneroka potensi penggunaan ganja dan ketum dalam bidang kesihatan.

Peristiwa bersejarah ini dikatakan sebagai langkah awal atau petanda akan bermulanya pindaan akta yang akan membenarkan penanaman dan penggunaan ganja di Malaysia.

Namun, menurut Dr Suhazeli Abdullah, masih terlalu awal untuk geng ‘kaki lalok’ dan ‘mat ganja’ di Malaysia untuk meraikan berita gembira yang belum pasti itu. Ikuti perkongsian di laman Facebooknya berikut:

KJ Ganja Thailand

YB Khairy Lawat Ladang Ganja di Thailand

Dengan hanya sekeping gambar yang YB KJ tweet tu tak perlulah nak lompat terkejut. Geng Mat ganja dah fana dah ke bulan, bergumbira sebab kononnya KJ dah nak luluskan tanam ganja kat Malaysia.

Sabar, tunggu dulu.

Lawatan sambil belajar itu sudah pasti bertujuan tertentu dan YB KJ tidak kesaorangan. Pegawai yang selayaknya bersama beliau seperti Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli; Pengarah ICR, Datuk Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy; dan Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Program Perkhidmatan Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah.

Setakat saya tahu melalui kenyataan YB Menteri Kesihatan sebelum ini bahawa isu ganja perubatan ini dibincangkan adalah untuk benarkan pendaftaran farmaseutikal, iaitu produk yang sudah tersedia ada dalam pasaran. Namun ianya juga masih tertakluk kepada kriteria dan penilaian pihak Badan Berkuasa Ubat (DCA/NPRA). Dalam erti kata lain setiap produk berasaskan ganja itu, jika nak dimasukkan ke dalam negara kita perlu ada bukti kajian klinikal yang sahih. Itu pun setakat perbincangan pakar, produk berasaskan Cannabidiol (CBD) sahaja yang akan dibenarkan.

Maknanya juga tidak boleh sesiapa menanam ganja bagi tujuan perubatan. Produk mentah (berbentuk pokok ganja) masih lagi tertakluk kepada akta racun yang sedia ada.

Pindaan akta

Andai katalah, kerajaan nak pinda akta supaya boleh tanam, proses, guna dan jual ganja berbentuk hemp (mengandungi CBD) tersebut, masih terlalu awal lagi negara kita nak mengubahnya. Perlu banyak pertimbangan dalam pelbagai sudut sama ada kestabilan politik, kedudukan sosiobudaya, kehendak rakyat dan hukum hakam agama.

Apa pun sebarang perubahan polisi kerajaan tertakluk kepada dapatan Jawatankuasa Induk yang terdiri dari pakar dan melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain. Kebolehlaksanaannya juga bergantung secara khusus bagi tujuan perubatan, bukannya tujuan rekreasi atau industri.

Kita perlu ingat juga bahawa ganja ini di bawah “UN Single Convention on Narcotic 1961”. Malaysia adalah negara ahli. Selagi kawalan ada di peringkat antarabangsa, kita tidak boleh pinda kawalan semudah itu saja. Apa yang berlaku di Thailand sekarang pun dalam pemerhatian serius dari Commissiom on Narcotic Drug (CND).

Suhazeli Abdullah
23.8.2022

Sumber: Dr Suhazeli Abdullah