
Lawatan Bertukar Tragedi, Kisah Di Sebalik Feri Sewol Karam Di Korea Selatan
Kisah tragedi feri Sewol yang meragut ratusan nyawa.
Hari ini genap peristiwa 16 April 2014 mengenai tragedi tenggelamnya sebuah feri Korea Selatan, MV Sewol yang membawa kira-kira 459 penumpang dan kru menyeberangi lautan dari Icheon ke Pulau Jeju.
Dianggap tragedi maritim terburuk Korea Selatan yang telah meragut lebih daripada 300 nyawa, majoritinya merupakan pelajar sekolah menengah bersama guru-guru pengiring mereka bagi tujuan lawatan sekolah.
Tragedi malang itu menimbulkan pelbagai konflik, pertikaian dan perdebatan dalam kalangan pakar, ahli politik dan masyarakat di Korea Selatan.
Kejadian itu dipercayai kerana terlebih muatan dan berkemungkinan struktur feri yang kurang kukuh dan bergerak dalam keadaan pantas menjadi punca ia tenggelam walaupun cuaca ketika itu dilaporkan baik.
Kementerian Keselamatan dan Pentadbiran Awam pada awalnya mengumumkan 368 orang telah berjaya diselamatkan yang mana ia merupakan satu kesilapan disebabkan kekeliruan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai sumber.
Menurut laporan, para penumpang dan kru feri mempunyai masa lebih dua jam setengah untuk menyelamatkan diri, namun akibat ‘diarahkan untuk tidak berganjak dan disuruh untuk kembali ke tempat sendiri’, ramai yang terkorban.
Kebanyakan daripada mereka berjaya diselamatkan adalah hasil bantuan nelayan serta bot-bot komersil sebelum flotila daripada pengawal pantai dan tentera laut kapal tiba dimana ia turut dibantu oleh beberapa helikopter.
Lebih memilukan apabila Kapten Sewol, Lee Joon-seok antara yang pertama meninggalkan kapal dan ratusan pelajar yang terperangkap di dalam feri itu.
Ramai pelajar yang merakam video ketika kapal telah pun terbalik 90 darjah, kebanyakannya kelihatan tenang, ada yang dilihat sedang berbual dan bergurau senda tanpa mengetahui bahawa mereka tidak diendahkan kru kapal untuk diselamatkan dengan segera.
Ramai pelajar yang menghubungi polis untuk menghantar operasi menyelamat, namun menurut laporan, sebilangan besar penumpang mungkin dapat diselamatkan sekiranya pengawal pantai menyahut panggilan pelajar-pelajar itu dengan pantas.
Walaupun tujuh tahun tragedi berlaku, keluarga mangsa yang terkorban masih mengadakan demonstrasi, mendesak pemerintah untuk menghukum keras semua orang yang mengabaikan tugas mereka untuk menyelamatkan penumpang pada hari kejadian.
Tragedi menyayat hati ini menyebabkan kapten kapal tersebut pula telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sementara anak kapal lain dipenjara dari 18 bulan hingga 12 tahun. Bangkai kapal pula hanya dapat diapungkan dari dasar laut sepenuhnya pada 2017.
Malah, bekas presiden Korea Selatan pada ketika itu, Park Geun-hye turut dikritik kerana lambat bertindak dalam operasi menyelamat dan mencari mayat, dan enggan menyiasat tentang insiden tersebut.
Insiden ini juga turut menghasilkan enam buah filem dokumentari yang menceritakan nahas feri Sewol.
BACA: Mary Celeste: Misteri Kehilangan Semua Anak Kapal Yang Masih Belum Terungkai Sehingga Hari Ini