
Larry Tesler, Pencipta Konsep ‘Cut-Copy-Paste’ Meninggal Dunia
Tahukah anda, sebelum wujudnya konsep arahan komputer iaitu potong, salin dan tampal atau lebih dikenali sebagai cut-copy-paste, pengendali rekod akan memotong perkataan pada helaian naskhah dan kemudian ditampal pada tempat yang dikehendaki.
Bermula dari sinilah, graduan sains komputer dari Universiti Stanford ini mendapat ilham. Arahan komputer ini berjaya dihasilkan pada tahun 1973 sehingga 1976 dengan hanya menekan kekunci ‘Ctrl’ + C’ untuk menyalin, ‘Ctrl’ + V’ untuk menampal serta ‘Ctrl’ + X’ untuk memotong perkataan.
Individu tersebut ialah Lawrence Gordon Tesler atau lebih dikenali sebagai Larry Tesler yang memperkenalkan arahan komputer itu.
Dukacita dimaklumkan, pencipta konsep arahan komputer itu telah meninggal dunia pada usia 74 tahun, Isnin lepas, menurut laporan CNET.
Walaupun nama Larry Tesler tidak begitu dikenali seperti Bill Gates, Steve Jobs, atau Mark Zuckerberg dalam dunia sains komputer, namun telah memberi sumbangan yang begitu besar dalam industri teknologi komputer dan peranti mudah alih lebih efisen digunakan seperti sekarang.

Larry memulakan kerjayanya pada tahun 60-an sebagai pengatur dan penyelidik Standford AI sebelum menyertai Xerox Palo pada tahun 1973.
Dari situlah Larry bersama rakannya, Tim Mott mencipta arahan komputer yang sering kita gunakan ini iaitu cut-copy-paste. Pada tahun 1980, Larry secara rasmi menyertai Apple dan merupakan salah satu tokoh pertama yang menyumbang kepada pembangunan Apple.
Bukan hanya pernah berbakti dengan syarikat Apple, Larry juga pernah bekerja di Amazon, Yahoo dan perusahaan teknologi lain sebelum menjadi konsultan pada 2009.
Sememangnya, sumbangan Larry kepada industri teknologi masa kini amat besar.
Pendekatan beliau terhadap sistem pengkomputeran moden adalah salah satu sebab penting inovasi komputer daripada bersaiz besar kepada peranti mudah alih yang kita guna dalam kehidupan seharian.
Sumber: Gizmodo
Trending now



