
Larang Wanita Masuk Universiti, Ini Alasan Sebenar Menteri Pengajian Tinggi Taliban
Dalam sesi temubual bersama stesen televisyen Afghanistan, Menteri Pengajian Tinggi kerajaan Taliban, Nida Mohammad Nadim berkata, beliau tetap mempertahankan keputusannya untuk melarang golongan wanita melanjutkan pengajian ke universiti.
Tegasnya, larangan yang dikeluarkan awal minggu lalu sebenarnya adalah perlu bagi mengelak percampuran jantina di universiti dan kerana beliau juga percaya sesetengah subjek yang diajar kini bertentangan dengan prinsip Islam.
Nadim turut memberi alasan larangan itu juga adalah disebabkan kerana golongan wanita gagal untuk mematuhi kod berpakaian selain kajian terhadap subjek dan kursus tertentu yang perlu disemak semula.
“Kami meminta perempuan mengenakan tudung dengan betul tetapi mereka tidak mematuhinya, dan sebaliknya mereka berpakaian seolah mahu ke majlis perkahwinan.
“Pelajar perempuan belajar kejuruteraan dan pertanian, tetapi ini tidak sepadan dengan budaya Afghanistan. Perempuan perlu belajar tetapi bukan dalam bidang ini yang bertentangan nilai Islam dan kehormatan Afghanistan,” jelas Nadim.
Beliau juga berkata, larangan itu kekal berkuat kuasa sehingga dimaklum kelak. Walau bagaimanapun, usaha memperbaiki isu berkenaan sedang dilaksanakan dan universiti akan dibuka semula kepada wanita apabila ianya diselesaikan.
Nadim yang dilantik sebagai menteri pada Oktober lalu oleh pemimpin tertinggi Taliban sebelum ini pernah berjanji untuk menghapuskan sistem persekolahan sekular.
Sebelum ini juga, Taliban pernah menabur janji sama terhadap peluang bersekolah untuk kanak-kanak perempuan, yang mana mereka dibenar ke kelas semula apabila ‘isu teknikal’ membabitkan pakaian seragam dan pengangkutan diperincikan, namun sehingga kini ia masih tidak berlaku.
Taliban juga mendakwa pihaknya kini sedang menyelesaikan masalah yang dikatakan diwarisi daripada pemerintahan terdahulu sejak mengambil alih tahun lalu.
Dalam pada itu, Nadim turut menyelar kecaman antarabangsa terhadap dasar itu, termasuk dari negara Islam seperti Arab Saudi, Turkiye dan Qatar.
Semalam, menteri luar negara G7 yang terdiri dari negara-negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah turut mendesak Taliban untuk membatalkan larangan itu.
BACA: Lelaki Ini Terangkan Siapa Sebenarnya Taliban & Kenapa Mereka Ditakuti
Sumber: Harian Metro