
Laporan Antarabangsa Dedah 31,367 Kebakaran Berlaku Di Indonesia
Sebelum ini, Odisi ada berkongsi mengenai penafian Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Siti Nurbaya atas dakwaan keadaan jerebu yang melanda Malaysia bukan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia sebaliknya dari Sarawak.
Sehingga hari ini, tahap kualiti udara di Sri Aman, Sarawak semakin merosot apabila bacaan IPU dicatatkan pada 367 iaitu tahap berbahaya setakat 11 pagi ini.
Walaupun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Yeo Bee Yin menunjukkan bukti berkenaan kesan asap kebakaran hutan yang melepasi sempadan ke negara ini seterusnya menyebabkan jerebu dan gangguan kesihatan, Siti Nurbaya tetap menegaskan insiden kebakaran juga berlaku di beberapa lokasi di Malaysia yang berpunca dari Malaysia sendiri.
Beliau mengulas aduan Malaysia yang hanya bersandarkan data daripada Pusat Pakar Meteorologi ASEAN yang mana ia menunjukkan titik panas di Sumatera dan Kalimantan berjumlah 474 dan 387 masing-masing, berbanding hanya tujuh titik panas di Malaysia.
Bagaimanapun, penafian ini disangkal apabila laman web antarabangsa Global Forest Watch Fires mendedahkan terdapat 31,367 kebakaran berlaku di Indonesia yang direkodkan dari 8 hingga 15 September lalu.

Data terbabit diperolehi daripada Maklumat Kebakaran Untuk Sistem Pengurusan Sumber (FIRMS) Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) menerusi pengesanan satelit MODIS dan VIIRS yang turut menunjukkan 369 kebakaran berlaku di Malaysia.
Sementara itu, aktivis alam sekitar Indonesia turut mengkritik pemerintah yang dilihat tidak serius dalam menangani kebakaran, sehingga berlaku jerebu teruk dan menjejaskan keselamatan awam. Memetik laporan media tempatan, jerebu itu bukan sahaja menyusahkan rakyat tempatan, malah kini merentasi sempadan dan menjejaskan negara jiran.
Setakat insiden jerebu ini berlaku, dilaporkan dua orang termasuk bayi berusia empat bulan dilaporkan mati akibat jerebu yang semakin buruk di Selatan Sumatera Indonesia.
Susulan masalah yang berlaku ketika ini, Yeo Bee Yin menegaskan Akta Jerebu Rentas Sempadan perlu segera diwujudkan oleh Malaysia dan negara-negara Asean yang bagi menjamin penguatkuasaan undang-undang yang lebih efisien antara negara serantau.
Sumber: Harian Metro, Awani
Wajib tonton Gemini Man ini.
Gemini Man | Ang Lee Featurette
dan jangan lupa subscribe Youtube ODISI.