Bayi

Lapar, Lampin Basah Atau Mengantuk – Punca Tangisan Bayi Kini Boleh ‘Diterjemah’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejenis peranti yang boleh menganalisis dan menterjemah punca bayi menangis bagi memudahkan ibu bapa telah dihasilkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Taiwan.

Peranti yang dikenali sebagai Q-bear tersebut dikatakan berupaya berfungsi sebagai ‘penterjemah bayi menangis’ yang menggunakan kepintaran buatan (AI).

Q-bear mampu menganalisis dan mengenal pasti keperluan bayi dari pelbagai jenis tangisan bagi membantu ibu bapa bertindak balas dengan lebih pantas dan mudah.

Tangisan bayi disebabkan lapar, lampin basah atau mengantuk dapat dibezakan oleh peranti canggih ini.

Malah, sekiranya bayi tersebut saja-saja menangis dan ingin dipujuk juga boleh dikenalpasti oleh Q-bear.

Q-bear juga dikatakan mampu mengesan tahap ketidakselesaan bayi bagi membolehkan ibu bapa lebih memahami situasi kesihatan anak mereka.

Dibalut dengan silikon lembut dan boleh diletakkan di dalam katil bayi atau kereta sorong, Q-bear menggunakan teknologi canggih yang dipaten bagi menganalisis tangisan bayi untuk menentukan satu daripada empat keperluan ‘indeks ketidakselesaan’.

Selain mampu mengesan maklumat kesihatan, peranti ini juga boleh mengenal pasti sama ada bayi mengantuk atau tidak selesa dan memainkan muzik yang menenangkan bayi secara automatik.

Satu lagi keistimewaan Q-bear ialah ia secara automatik boleh memainkan irama dodoi atau bunyi seperti di dalam rahim yang dipaten serta menukar kepada mod lampu bantuan tidur sekiranya tangisan bayi adalah disebabkan keletihan.

Bukan itu saja. Produk ramalan yang dikatakan paling tepat di pasaran iaitu pada kadar 95 peratus ini juga memberi pilihan untuk ibu bapa memuat naik buku audio atau muzik yang digemari oleh mereka.

Bahkan sekiranya ibu bapa hendak merakam dan memuat naik suara mereka sendiri ke dalam peranti Q-bear itu pun boleh.

Tidak dinyatakan berapakah harga untuk sebiji Q-bear dan bilakah peranti ini akan berada di pasaran Malaysia.

Bayi

BACA: ‘Chainsaw’ Pada Awalnya Diciptakan Untuk Bantu Proses Kelahiran Bayi

Sumber: KOSMO!