Peranan Agong Dalam Pembentukan Kerajaan

Landskap Politik Malaysia Ketika Ini: Peranan Penting Agong Dalam Pembentukan Kerajaan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak petang semalam, rakyat digemparkan dengan desas-desus berhubung pengaturan semula landskap politik negara.

Setakat pagi ini, masih belum ada pengumuman atau sidang media bagi menjelaskan perkara tentang bakal berlakunya gerakan menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’.

Memetik laporan Sinar Harian, sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan kerajaan terutamanya memastikan Perdana Menteri yang dipilih mendapat sokongan majoriti 222 ahli Dewan Rakyat.

Kata Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, UIAM, Profesor Madya Dr Shamrahayu A Aziz, dalam perkembangan terkini politik negara yang digembar-gemburkan bakal berlaku perubahan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) harus memastikan Perdana Menteri sedia ada masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan.

“Seri Paduka Baginda boleh menentukan kepercayaan tersebut sama ada dengan memanggil kepimpinan sesebuah parti atau memanggil sendiri individu yang bertukar parti.

“Apabila Seri Paduka Baginda yakin sokongan majoriti masih wujud, urusan seterusnya adalah menentukan barisan jemaah menteri atas nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Apa pun yang berlaku ketika ini, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada YDPA dan Raja-Raja Melayu yang berfungsi di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Peranan Agong Dalam Pembentukan Kerajaan
Sumber: BH

Memetik sumber Suara Merdeka, Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan:

(a) Pertama, melantik seseorang Perdana Menteri,
(b) kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak)
(c) ketiga, meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Sekiranya, berlaku pertukaran kerajaan, Jemaah Menteri baharu akan mengangkat sumpah dan pada masa sama menteri yang digugurkan tidak lagi mempunyai portfolio.

Bagaimanapun, jika berlaku penubuhan ‘kerajaan pintu belakang’, mungkin bermasalah dari sudut morak politik jika dikaitkan dengan mandat rakyat. Jika ia selari dengan perubahan sokongan rakyat dan dijamin tidak ada unsur rasuah dan ugutan, maka ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sah.

Sumber: Sinar Harian, Suara Merdeka