Wartawan Jadian

Lambakan ‘Wartawan Jadian’ Cetus Kebimbangan, Semua Nak Jadi ‘Hero’ Paling Cepat Kongsi Maklumat

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kewujudan ‘wartawan jadian’ yang gemar menyebarkan maklumat tidak sahih mahupun tepat menerusi media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai tidak boleh diambil ringan.

Dalam satu artikel terbitan Harian Metro yang berjudul “Ancaman Wartawan Jadian”, lambakan wartawan tidak bertauliah ketika ini didapati telah mencemarkan profesion kewartawanan.

Wartawan Jadian

Dengan hanya menggunakan capaian internet, platform media sosial lebih mudah diakses oleh masyarakat dengan hanya sekali klik hinggakan maklumat palsu yang berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian juga turut mudah tersebar.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek menyeru media dan wartawan profesional supaya tidak terus membiarkan golongan ‘wartawan jadian’ mengambil alih peranan mereka dalam penyebaran berita, sebaliknya mempertingkat usaha dalam menyampaikan maklumat benar dan sahih.

Teknologi

Kecanggihan teknologi komunikasi juga membolehkan hampir sesiapa sahaja menjadi ‘wartawan rakyat’ tanpa melakukan penyelidikan dan semakan fakta dengan pihak berwajib.

Demikian kerisauan yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya.

“Perkongsian maklumat mereka bukan 100% betul, namun apa yang membezakan wartawan jadian dengan wartawan profesional ialah wartawan profesional masih lagi kuat berpegang pada etika kewartawanan dengan melaporkan berita sahih yang disahkan oleh sumber yang betul.

“Yang membimbangkan apabila wujudnya kekeliruan dalam kalangan pembaca berkaitan maklumat yang disebarkan oleh ‘wartawan jadian’ sehingga ada ketikanya kredibiliti wartawan profesional dipersoal kerana biasanya maklumat yang dikongsi oleh ‘wartawan jadian’ bersifat sensasi dan kontroversi,” jelas Dr Chamil kepada wartawan BERNAMA.

Undang-undang

Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, ‘wartawan jadian’ yang begitu bebas menyebarkan maklumat tanpa verifikasi sebenarnya masih terikat dengan peraturan.

Undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 mempunyai peruntukan mencukupi untuk menangani penyebaran maklumat palsu yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

“Seksyen 505(b), Kanun Keseksaan misalnya, boleh mengekang berita yang dikongsi ‘wartawan jadian’ yang berisiko membangkitkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Kerana itu, kita mengingatkan masyarakat agar mendapatkan berita daripada sumber sahih seperti BERNAMA (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) kerana berita-beritanya telah melalui proses penyuntingan, gatekeeper dan dikawal selia,” tambah Dr Noor Nirwandy lagi.

Perkembangan dunia digital dan komunikasi tanpa sempadan serta keghairahan masyarakat berkongsi maklumat walaupun tanpa asas dan etika kewartawanan pula disifatkan beliau sebagai tidak dapat dielakkan.

Namun, ‘wartawan jadian’ ini juga masih perlu mempunyai integriti dengan tidak berkongsi sebarang maklumat dan berita tidak sahih untuk kepentingan peribadi.

“Keterujaan menyebar berita selalunya disebabkan sensasi dan sikap ingin menjadi ‘hero’ siapa paling cepat berkongsi maklumat untuk meraih populariti, dan ini normal dalam dunia komunikasi moden hari ini apabila setiap orang mempunyai kuasa berkomunikasi,” jelasnya.

Pempengaruh media sosial

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya Dr Siti Ezaleila Mustafa pula berkata media arus perdana masih lagi relevan kerana tetap menjadi rujukan masyarakat, khususnya berkaitan isu semasa.

Menurut Dr Siti Ezaleila, wartawan sebenar tidak akan tergugat dengan lambakan ‘wartawan jadian’ pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, organisasi media tidak boleh lagi melihat masyarakat sama seperti dulu yang hanya menerima dan membaca apa yang disampaikan.

Beliau berpendapat, media arus perdana boleh menggunakan atau bekerjasama dengan pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut bagi memupuk kesedaran dalam menangani ‘wartawan jadian’.

BACA: Ucapan ‘Makcik Goreng Pisang’ PM: “Kenapalah Buat Macam Tu…?”, Wartawan Veteran Tegur Netizen

Sumber: Harian Metro