
Kurma RM5 Jadi RM50 Sekilo, Jual Atas Nama Infaq Untuk Lariskan Jualan?
Ramadan adalah sebaik-baik bulan untuk merebut dan meraih ‘bonus khas’ yang tidak terdapat dalam bulan lain. Antara amalan boleh dilakukan adalah bersedekah kepada golongan memerlukan.
Justeru, kita melihat ramai yang tidak putus-putus bersedekah termasuk memberi makanan di rumah anak yatim dan pusat tahfiz.
Namun begitu, ada cerita tidak enak didengar di bulan mulia ini apabila terdapat pihak didakwa cuba mengambil kesempatan terhadap mereka yang benar-benar mahu mengejar pahala berlipat ganda.
Menerusi satu hantaran seorang guru di Facebook, Mohd Fadli Salleh mendakwa terdapat pembekal kurma menaikkan harga buah yang menjadi menu lazim di Ramadan.
“Beli kurma pukal 5 tan. Sekilo jatuh harga RM5. Lepas tu main game sedekah pada pusat tahfiz, masjid, rumah anak yatim dan seumpamanya untuk lariskan jualan.
“’Infaq Kurma pada Rumah Anak Yatim di bulan Ramadan’. Letak harga RM50 sekilo. Berduyun orang nak infaq ambil peluang pahala berganda di bulan Ramadan.
“Tauke senyum buat untung mudah RM45 x 5000kg = RM225,000. Tolak kos gaji budak-budak dan runner RM25K, masih untung bersih RM200K,” tulisnya.
Mohd Fadli berpendapat bahawa pembekal kurma tidak wajar untuk menaikkan harga keterlaluan walaupun niat untuk membantu membekalkan kurma ke rumah-rumah anak yatim dan pusat kebajikan.
“Untuk infaq tu bagi harga modal (tolak kos overhead) or untung minima.
“RM7 sekilo ke, masih lagi ada margin untung. Nak margin untung besar, jual pada orang ramai harga runcit RM50 sekilo tu. Yang tumpu projek kebajikan, bagi harga rendah.
“Takkan untuk projek kebajikan barang ambil dari syarikat sendiri jual pada harga runcit juga?” soalnya.
Ujarnya, golongan ini turut mempergunakan nama-nama tertentu demi memancing pembeli untuk bersedekah dan infaq.
“Aku perhati makin ramai main game gini. Ambil peluang bulan Ramadan, jual nama anak yatim, pusat tahfiz, jual produk sendiri dengan harga runcit guna tektik ‘Infaq dan Sedekah’.
“Nak infaq kena beli barang dia dengan harga runcit, bahkan lebih mahal.”
Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat lambakan kurmah di kebanyakan pusat tahfiz dan rumah anak yatim.
“Berlambak sampai membazir dan akhirnya busuk gitu aja. Depa main hantar je kurma sebab orang dah beli dengan depa, bukan depa peduli rumah anak yatim or pusat tahfiz tu perlukan atau tidak. Janji dia dah hantar.”
Hantaran tersebut mencuri perhatian netizen yang turut meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir peniaga dan pembekal ini.
BACA: ‘Berebut Nak Sedekah Tapi…’ – Netizen Tegur Golongan Agih Makanan Hingga Terbiar Tepi Jalan
Trending now



