Kumpulan Utusan Melayu Bakal Tamatkan Operasi Hari Ini?

Sumber: MalaysiaKini

Ogos lalu, syarikat akhbar Bahasa Melayu yang sudah mencecah usia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dikatakan bakal menghentikan operasi akibat daripada ketidakmampuan menanggung kos operasi sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan tunggakan gaji kakitangan dan bekas kakitangannya.

BACA: Akhbar Utusan, Kosmo Kini Milik Media Prima

Spekulasi itu kemudiannya terhenti selepas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir memberitahu bahawa Utusan mempunyai pelan bagi meningkatkan perniagaan antaranya menaikkan harga akhbar sebanyak 50 sen untuk Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing dengan nilai RM2 dan RM1.50.

Semalam, The Edge Market melaporkan syarikat pemegang saham utama Media Prima iaitu Aurora Mulia Sdn Bhd telah mengambil 70% kepentingan dalam anak syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Dilof Sdn Bhd.

Utusan Kosmo Media Prima
Sumber: Rojak Daily

Penyerahan kepentingan Dilof yang merupakan 100% anak syarikat milik Utusan yang juga pemegang permit penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! adalah dengan tujuan supaya syarikat akhbar tertua di Malaysia ini dapat meneruskan operasi.

Namun, terbaharu hari ini semua pekerja Kumpulan Utusan mendakwa mereka menerima arahan tidak rasmi daripada ketua unit untuk mengosongkan meja masing-masing selewatnya jam 1 tengah hari, hari ini malah wartawan dan jurugambar juga tidak diberikan tugasan.

BACA: Presiden PENA Beri Cadangan Selamatkan Akhbar Utusan Daripada Ditutup

Arahan tersebut dipercayai dibuat susulan daripada keputusan Datuk Abd Aziz mengumumkan kebankrapan sukarela syarikat tersebut pada sidang media tergempar jam 12 tengah hari ini di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin.

Menurut sumber daripada Harian Metro, kakitangan percaya pengumuman pengisytiharan kebankrapan syarikat itu merupakan tindakan syarikat yang mahu mengelak daripada membayar sebarang pampasan kepada pekerja dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) walaupun dahulunya Datuk Abd Aziz pernah berjanji bahawa beliau tidak akan meletakkan ‘batu nisan’ kepada Utusan.

Selamatkan Utusan
Sumber: Warta Kota

Menurut sumber daripada FMT pula, Utusan Melayu yang berada di bawah pengurusan baru bercadang untuk melaksanakan pengurangan tenaga kerja pusingan kedua bulan ini, dengan menghadkan seramai 60 ke 70 orang wartawan di jabatan editorial Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Maklumat mengenai penggabungan editorial Utusan Melayu, Kumpulan NSTP dan Media Prima hanya akan diumumkan setelah ianya diputuskan oleh pengurusan baharu dengan jangkaan pengurangan tenaga kerja turut akan dilakukan pada Kumpulan NSTP selepas ini dan akan membawa kepada penggabungan editorial Kumpulan Media Prima dan Utusan Melayu Berhad.

 

Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!