Kucing Diculik

Kucing Diculik, Minta Wang Tebusan RM6,000 – Kes Pertama Berlaku Di Negara Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Portal FMT melaporkan seekor kucing di Kuching, Sarawak telah menjadi mangsa culik dan pemiliknya telah diugut untuk menyerahkan wang tebusan sebanyak RM6,000 jika mahu haiwan peliharaan kesayangannya itu dikembalikan dengan selamat.

Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kes tersebut merupakan jenayah penculikan melibatkan kucing dan wang tebusan ribuan ringgit yang pertama di negara ini.

Kes yang menggemparkan negara itu dikongsi melalui laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia dan menurut perkongsian tersebut, kucing itu dilaporkan hilang pada 1 September lalu di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak.

Menurut hantaran tersebut, penculik mengugut untuk melemparkan kucing itu ke dalam sungai berdekatan jika gagal membuat bayaran wang tebusan.

“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik.

“Pemilik tidak mempunyai duit sebanyak yang diminta oleh penculik kucing dan hanya mampu menawarkan wang saguhati sebanyak RM200 tetapi ditolak oleh penculik kucing,” jelas hantaran itu lagi.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat pada hari berikutnya di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia itu juga menegaskan pihaknya bimbang jenayah penculikan haiwan akan berleluasa dan boleh menular kepada kanak-kanak dan orang dewasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

Kucing Diculik

BACA: Tiada Kesan Diracun, Misteri Kematian 20 Ekor Kucing Akhirnya Terjawab

Sumber: FMT