
Kuasa Tular, ADUN Selat Klang Dikompaun Langgar SOP PKPB Sambut Aidilfitri
Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang perayaan Aidilfitri tertakluk ke atas semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat atau darjat, demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media harian Rabu lalu.
“SOP sama, tidak ada perbezaan antara kluster kayangan dan kluster bumi. Sama sahaja.
“Sesiapa yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Kalau pihak polis mengetahui mengenainya kita serahkan pada polis untuk jalankan tugas mereka,” ujarnya.
Kebenaran daripada kenyataan itu terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada hari raya pertama lalu.
Ini berikutan satu majlis rumah terbuka anjuran beliau di Kediaman Exco Kerajaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam, dihadiri lebih 20 tetamu seperti ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima arahan itu dari pihak pendakwa raya pada tengah hari, hari ini.
“Kita telah dapat arahan untuk keluarkan kompaun dan kita akan hubungi beliau untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk diserahkan kompaun.
“Kompaun hanya dikenakan terhadap penganjur rumah terbuka tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam.
Difahamkan, majlis rumah terbuka itu memang dianjurkan oleh Datuk Abdul Rashid Asari dan tetamu yang datang memang dijemput beliau. Mengikut kenyataan, beliau juga tidak jangka melebihi jumlah yang ditetapkan SOP.
Terdahulu, foto sambutan Aidilfitri di kediaman Abdul Rashid tular di media sosial kerana didakwa melebihi had tetamu yang ditetapkan dengan ayat berbunyi,
“@PDRMsia @IsmailSabri60 @MuhyiddinYassin kalau YB, tak perlu ikut SOP ke? #N44 #DUNSelatKlang.”
Sementara itu, Abdul Rashid menerusi satu kenyataan, memaklumkan jemputan itu melibatkan penyokongnya sahaja dan tidak menyangka foto itu tular di media sosial.
Dua hari lalu, menerusi petikan Harian Metro, polis menyatakan tiada sebarang laporan diterima susulan penyebaran gambar majlis Aidilfitri tersebut tetapi akan membuat pemantaun dan semakan sekiranya ada.
Sumber: BH
Trending now



