
Ku Nan Selesaikan Saman Cukai LHDN RM57.17 Juta
Tuntutan saman membabitkan pembayaran cukai pendapatan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) yang berjumlah RM57.17 juta akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.
BACA: Miliki Aset Hampir RM1 Bilion, Ku Nan Pegang 99% Saham Syarikat Tadmansori Sdn Bhd
Perkara tersebut disahkan peguam, S Saravanan Kumar yang mewakili beliau selepas prosiding di dalam kamar mahkamah di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar.
Ketika ditanya berapa jumlah bayaran yang dipersetujui, Saravanan menjelaskan ianya tidak dapat didedahkan tetapi terma persetujuan yang dipersetujui kedua belah pihak tidak dapat dikemukakan.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN selaku plaintif memfailkan saman itu pada 24 Julai 2019, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Jumlah tersebut ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).
Oleh itu, LHDN menuntut daripada Ku Nan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.