ITBM Kecil Operasi

KPM Rangka Pelan Pemulihan Operasi ITBM, Tangguh Pemberhentian 24 Kakitangan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak awal bulan lalu, kontroversi yang melanda Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) hangat diperkatakan.

Sebagai sebuah badan yang pakar dalam penterjemahan bahasa, ITBM dijangka mengecilkan operasi dengan memberhentikan kira-kira separuh daripada 116 kakitangannya.

Pada ketika itu, Pengurus Besar merangkap Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah mengesahkan bahawa ianya akan berlaku pada bila-bila masa kerana terlibat dalam rasionalisasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

ITBM Kecil Operasi 1

Diarahkan untuk kembali kepada fungsi asal iaitu penterjemahan buku, ITBM terpaksa mengecilkan operasi sekiranya tidak mahu kapasiti staf berlebihan.

Tindakan pengecilan operasi dan pemberhentian kakitangannya ini tidak dipersetujui oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad kerana menganggap ianya adalah tragedi.

BACA: Presiden PENA Beri Cadangan Selamatkan Akhbar Utusan Daripada Ditutup

Kata beliau, ITBM adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak berasaskan keuntungan. Disebabkan itu, kaedah munasabah perlu diberikan kerajaan kerana ITBM tidak boleh dibiarkan bergerak sebagai entiti perniagaan sepenuhnya tetapi perlu dibantu seperti pemberian kontrak buku teks sekolah oleh Kementerian Pendidikan seperti yang diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

ITBM Kecil Operasi

Menyedari kepentingan ITBM dalam pembangunan industri buku negara, satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai warga prihatin telah membuat petisyen pada 22 November lalu yang mendesak campur tangan pihak berwajib untuk masa depan ITBM.

Lima elemen utama petisyen yang dituntut:

  1. Mendapatkan jaminan kebajikan penjawat ITBM.
  2. Meminta kerajaan mengekal teras ITBM sebagai penerbit buku sastera.
  3. Memberi peluang ITBM menyusun peluang perniagaan.
  4. Menyeru kerajaan membantu ITBM dengan sokongan hingga mampu mandiri.
  5. Mendesak GLC membeli stok buku ITBM.

Bermula 4 Disember lalu, ITBM dikatakan sudah mula memberhentikan kakitangan mereka mengikut fasa membabitkan pekerja dengan gaji lebih RM2,000.

Manakala untuk fasa kedua dan ketiga pula, ianya bergantung kepada keadaan kewangan dan pampasan yang diterima pekerja seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Buruh.

Namun pada tarikh tersebut, ITBM memberitahu mereka menerima surat arahan daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang meminta agar pemberhentian kakitangan pekerja itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan perancangan pemulihan untuk kelangsungan organisasi tersebut.

Tiada Lagi Aliran Pendidikan 1

Ianya sesuai dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyediakan peruntukan khas kepada ITBM melalui projek penerbitan buku teks yang dibuat secara rundingan terus.

Malah pihak KPM turut mengenal pasti pelan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi memulihkan operasi dan kedudukan kewangan ITBM.

Antaranya langkah yang diambil ialah penyaluran peruntukan RM2 juta melalui pembelian buku sebagai bahan bacaan tambahan untuk edaran ke sekolah dan dana RM5 juta secara terus kepada ITBM.

BACA: Anjur PBAKL Di MAEPS Seakan Tidak Menyokong Penobatan KL Sebagai Kota Buku Dunia 2020?

Cadangan dan saranan bagi mengekalkan peranan ITBM ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk memberi perhatian terhadap pembangunan serta perkembangan industri perbukuan negara selari dengan pengiktiran Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020.

Sumber: Astro Awani, MalaysiaKini, Berita Harian, Astro Awani, The Malaysia Insight,