KPDNHEP Minta ‘Mangsa’ Kailan Ikan Masin RM18 Tampil Buat Aduan Rasmi 3

KPDNHEP Minta ‘Mangsa’ Kailan Ikan Masin RM18 Tampil Buat Aduan Rasmi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Baru sahaja reda isu ikan siakap yang dijual mencecah lebih RM1,000 seekor, hari ini tular pula hantaran seorang lelaki yang berkongsi dicaj RM18 untuk satu hidangan kailan ikan masin.

KPDNHEP Minta ‘Mangsa’ Kailan Ikan Masin RM18 Tampil Buat Aduan Rasmi 2
Sumber: via Penang Press

Menurut hantaran tersebut, beliau sedia maklum dengan kenaikan harga barang namun sukar untuk menerima apabila dicaj dengan harga untuk satu hidangan berkenaan yang dianggap terlalu mahal.

KPDNHEP Minta ‘Mangsa’ Kailan Ikan Masin RM18 Tampil Buat Aduan Rasmi 1
Sumber: via Penang Press

Kejadian yang berlaku di Kepala Batas itu kemudiannya mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang yang meminta pelanggan berkenaan tampil melakukan aduan rasmi berhubung isu tersebut supaya tindakan lanjut boleh diambil.

Malah pihak KPDNHEP turut sedang menjalankan siasatan bagi mendapatkan nama premis yang terlibat dalam isu kailan ikan masin RM18 berkenaan.

Terdahulu, KPDNHEP telah melancarkan satu operasi yang dipanggil Ops Menu bagi memeriksa premis makanan di seluruh negara yang melibatkan tanda harga dan alat penimbang dalam usaha mengelakkan penipuan harga oleh peniaga.

Mana-mana pemilik restoran yang gagal mematuhi perundangan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Baca lanjut di: KPDNHEP Lancar Ops Menu, Peniaga Menipu Harga Boleh Didenda RM40,000 & Penjara Sehingga 3 Tahun

Berkenaan isu siakap yang tular, peniaga berkenaan mungkin bakal didakwa mengikut Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau kompaun RM25,000 susulan kegagalan mengemukakan dokumen perniagaan lengkap seperti yang dikehendaki Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tindakan dikenakan susulan kegagalan peniaga menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar. Kertas siasatan telah pun dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rasol Wahid peniaga terbabit memberikan kerjasama namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan yang lengkap dan terperinci mengikut tempoh yang ditetapkan; yang sudah dilanjutkan sehingga 17 November lalu bagi membolehkan peniaga berkenaan membetulkan kesilapan tersebut.