
“Kos Ambil Lesen Mahal Sangat” – Punca Yang Sebabkan Ramai Pilih ‘Lesen Terbang’?
Menurut laporan wartawan Azrul Radi dari portal Majoriti, ketika ini pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan lesen palsu atau ‘lesen terbang’ masih kerap dikesan dan ianya banyak ditawarkan di media sosial.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), M Janagarajan baru-baru ini turut mengesahkan mengenai isu tersebut dan memaklumkan bahawa lesen yang dikeluarkan itu memang tidak wujud dalam sistem JPJ.
Tinjauan pendapat dari warganet mendapati, antara punca sebenar ‘lesen terbang’ menjadi pilihan adalah disebabkan faktor harga.
“Kos ambil lesen mahal sangat. Kenapa JPJ tidak pantau perkara ini? Sebab itulah ramai yang tidak mampu nak ambil lesen terutamanya anak-anak yang masih belajar,” jelas Kamal.
Roslan yang turut bersetuju berkata, proses untuk mendapatkan lesen memandu ketika ini memerlukan jumlah kewangan yang tinggi.
“Permudahkan rakyat untuk mendapatkan lesen memandu. Untuk mendapatkan lesen itu memerlukan kewangan yang banyak. Kemudian waktu ujian memandu pula senang gagal. Setiap kali gagal, kos semakin meningkat,” ujarnya dengan nada kesal.
Menurut seorang lagi warganet, Kamarul pula berkata, JPJ sepatutnya perlu memperhalusi semula kos untuk mengambil lesen.
“Bila gagal, kita kena keluar lagi belanja dan kos ini makin meningkat sedangkan lesen palsu hanya perlu keluar wang sekali sahaja.
“Disebabkan itu mungkin ramai yang inginkan cara mudah walaupun terpaksa berbelanja lebih,” katanya yang sangat mengharapkan agar kos untuk mengambil lesen dapat dikurangkan agar tidak terlalu membebankan rakyat.
BACA: Lihat Bagaimana Negara Lain Tangani Kes Pemandu Mabuk Yang Menyebabkan Kematian
Sumber: Majoriti