Korea Selatan Perkenal Lesen Memandu Digital, Hanya Tunjuk Telefon Sahaja Ketika ‘Roadblock’

Lesen Memandu Digital Korea Selatan
Sumber: Bangkok Post

Korea Selatan Perkenal Lesen Memandu Digital.

Perkembangan teknologi digital kini telah memberi kesan yang amat besar dan mengubah landskap kehidupan manusia sejagat tanpa mengira peringkat usia.

Jika ketika ini masyarakat membiasakan diri dengan teknologi tanpa tunai, kemudian datang teknologi tanpa kad dan kini bakal memasuki teknologi identiti tanpa kad (identification cardless), kesemuanya boleh dilakukan dengan hanya satu gajet sahaja iaitu telefon pintar anda.

Inilah teknologi yang sedang dibangunkan oleh Korea Selatan yang mana, selepas ini kad lesen memandu akan digantikan ke lesen memandu digital dan boleh terus diakses melalui telefon pintar sahaja.

Dengan munculnya teknologi digital, semakin ramai orang tidak mengeluarkan dompet mereka dan memilih versi digital untuk membeli – dari barang keperluan harian sehinggalah barang kehendak.

Tetapi dompet juga masih diperlukan untuk menyimpan dokumen penting lain seperti kad pengenalan dan lesen memandu. Ditambah pula dengan musim COVID-19, lagi membuatkan kita ‘rasa malas’ untuk mengeluarkan kad fizikal kerana mahu mengelakkan sentuhan.

Korea Selatan lancar lesen memandu digital

Lesen Memandu Digital Korea Selatan
Sumber: Petrolworld

Menyedari kepentingan masa kini, lesen memandu digital diperkenalkan melalui kerjasama antara pihak berkuasa Polis Korea, Penguatkuasa Traffik (KoRoad) dan juga pembangun syarikat Telco iaitu antara SK Telecom (SKT), KT, dan juga LG Uplus bagi membangunkan sebuah aplikasi untuk menyimpan data lesen memandu individu.

Dengan kerjasama ini, pastinya dapat membina lesen memandu digital dan memberikan kehidupan lebih mudah terutamanya apabila tidak perlu lagi membawa kad fizikal yang lebih banyak.

Jadi, tidak perlu risau keluar rumah lama-lama jika tidak bawa dompet kerana semuanya tersedia di dalam telefon pintar anda.

Lesen memandu digital yang dibangunkan ini, hanya boleh didapati melalui aplikasi PASS, hub sehenti yang membolehkan pengguna menggunakannya sebagai alternatif bagi dompet digital. Pengguna PASS dapat mendaftarkan lesen memandu mereka di aplikasi tersebut melalui proses pengesahan yang peribadi.

Untuk menjadikannya lebih selamat, segala informasi berkaitan lesen memandu digital ini akan bersambung dengan database terus ke Penguatkuasa Polis Korea. Jadi jika ada sebarang kehilangan atau kecurian, polis akan tahu.

Selain itu, ia turut dilengkapkan dengan teknologi yang tidak membenarkan mereka tangkap layar lesen digital. Ini bagi mengelakkan ia ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain Korea Selatan, penggunaan lesen memandu digital turut diperkenalkan di Pakistan dan Turki. Di Malaysia, penggunaan lesen memandu digital pernah dikemukakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada September 2018 tetapi cadangan itu tidak dihuraikan lebih lanjut.

Sumber: Bangkok Post