
Konvoi Basikal Undang Bahaya, Geng Kayangan ‘Hobi Mahal’ Semakin Melampau?
Satu perkongsian klip video di laman sosial kini tular yang memperlihatkan sekumpulan golongan ‘kayangan’ berbasikal secara konvoi seolah-olah tidak mempedulikan pengguna jalan raya yang lain yang mengekori dari belakang.
Kumpulan tersebut bukan sahaja berkonvoi dalam kelompok besar malah laluan yang digunakan oleh mereka juga sempit, berselekoh serta ada di antara mereka yang menunggang secara beriringan.
KOSMO! ONLINE turut melaporkan, pemilik video berkenaan kesal dengan tindakan kumpulan tersebut yang dilihat semakin melampau kerana mengabaikan aspek keselamatan, mengganggu laluan serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Tengok geng-geng hobi mahal ni, macam manalah aku nak potong (memotong), sudahnya aku sekali kena ikut dari belakang.
“Sepatutnya kalau konvoi seramai ini perlu ada pengiringlah depan belakang. Aku bawa kereta tak sampai 40 (km/j), kalau memotong tak lepas konvoi ini panjang macam kena potong empat buah treler,” ujarnya mengenai rakaman video yang tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh tersebut.
Beberapa komen netizen turut menyatakan rasa kesal dan sakit hati terhadap geng hobi mahal tersebut.
“Paling meluat tengok geng-geng ni, menyusahkan padahal banyak lagi tempat yang selamat untuk kayuh basikal” – Yus Rie
“#JPJMalaysia sila ambil perhatian tentang perkara ini, mengganggu dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Aktiviti berbasikal ramai-ramai macam ini agak tidak sesuai dilakukan di kawasan jalan raya, amat bahaya” – Clement Sim
“Tak perlu pengiring, mereka kena pecah dan sebaris, memudahkan kereta lalu, kalau macam tu dia sukar kereta nak potong. Harap penunggang basikal lebih prihatin” – Amiesta Kuzami.
BACA: Aktiviti Berbasikal Boleh Jadi Punca Sperma Lemah?
Sumber: KOSMO! ONLINE