
Konsert Terengganu – Pengunjung Perlu Rasional, Berhibur Tanpa Menari Atau Melompat
Pengunjung konsert Karnival Jom Heboh yang akan berlangsung di Terengganu hujung minggu ini perlu bersikap rasional dengan berhibur dalam ruang lingkup sederhana tanpa perlu menari atau melompat.
Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman yang dipetik dari sumber KOSMO! ONLINE.
Menurut beliau, pengunjung konsert Karnival Jom Heboh yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus itu juga sememangnya akan diasingkan antara lelaki dan perempuan.
Konsert itu akan dipastikan agar patuh syariah dengan hanya artis lelaki dibenarkan membuat persembahan selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu.
“Artis dan petugas wanita yang menjaga reruai (gerai pameran dan jualan) pula diwajibkan memakai tudung serta menutup aurat dengan sempurna sepanjang program tersebut berlangsung.
“Ia telah dimaklumkan kepada penganjur Karnival Jom Heboh dan mereka telah bersetuju untuk mematuhinya,” jelas beliau lagi.
Penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan sebelum ini dikecam hebat apabila sebahagian penonton dilihat menari terkinja-kinja mengikut rentak lagu.
Selepas kejadian tersebut, satu lagi insiden memalukan yang melibatkan penganjuran konsert tidak jauh dari Masjid Zahir, Alor Setar Kedah yang memaparkan aksi penonton sedang melompat dan menari juga menerima kecaman dari netizen.
Tambah beliau lagi, semua pengunjung karnival terutama konsert berkenaan diharapkan dapat mengawal tingkah laku agar tidak terlalu teruja berhibur hingga melanggar garis panduan ditetapkan Islam.
“Apatah lagi, sehari selepas konsert tersebut diadakan, umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul. Saya harap nama baik Terengganu tidak akan tercemar dengan sebarang insiden tidak diingini pada konsert itu nanti,” jelasnya.
BACA: Konsert: Giliran Kedah Pula ‘Terkinja-Kinja’ Lepas Kelantan. Apa Sebenarnya Berlaku?
Sumber: KOSMO! ONLINE