Konsert Riuh Sokmo!

‘Konsert Riuh Sokmo!’ Masih Lagi Mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Kerajaan Kelantan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Penganjuran Konsert Riuh Sokmo! di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh minggu lalu masih lagi tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.

Meskipun banyak kedengaran suara yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang disifatkan bertentangan dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ tersebut, penganjuran konsert seperti itu dikatakan hanyalah sebagai memberi peluang rakyat Kelantan untuk berhibur dengan mengikuti peraturan ditetapkan.

Dr Abdul Rahman A Shukor yang menulis di Facebooknya, Abdel Rahmanov telah membuat hantaran berikut bagi memberikan sedikit gambaran sebenar mengenai isu tersebut dan menyingkap di sebalik sejarah penganjuran konsert di Kelantan selama ini.

Konsert Riuh Sokmo!

Adakah konsert diharamkan secara total di Kelantan? Adakah kerajaan Kelantan bersikap konservatif seperti kerajaan Taliban?

  1. Sejak awal pemerintahan PAS di kelantan, memang tidak dibenarkan persembahan terbuka penghibur wanita, penganjuran konsert hiburan juga tidak dibenarkan. Dengan kata lain, konsert di bandar-bandar besar tiada di Kelantan.
  2. Konsert hiburan tidak dibenarkan mungkin kerana ia mewujudkan gejala sosial, wujud percampuran lelaki dan wanita, penghibur tidak menutup aurat dan sebagainya.
  3. Namun begitu, Kerajaan Kelantan mewujudkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang menetapkan peraturan khas untuk penganjuran konsert hiburan di Kelantan.
  4. Di antara peraturan itu ialah tiada penghibur wanita, menutup aurat bagi Muslim, pakaian sopan bagi non Muslim, lagu yang baik dan tidak melalaikan, penonton diasingkan mengikut 3 kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita dan sebagainya.
  5. Seingat saya konsert hiburan di Kelantan ialah kumpulan Raihan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan kumpulan Nada Murni (zaman Al-Arqam). Kedua-dua ini adalah kumpulan nasyid.
  6. Pada Tahun 2005, fenomena Mawi melanda negara, Kerajaan Kelantan dan Maestro menganjurkan Konsert Amal Tautan Kasih. Dato’ M. Nasir turut membuat persembahan dengan Mawi.
  7. Sejak tahun 2003, konsert Sure heboh anjuran Media Prima amat popular dan diadakan di seluruh negeri. Ia bagaikan konsert percuma untuk masyarakat sambil mempromosi jenama TV3.
  8. Namun begitu, Konsert Sure heboh pernah ditegur oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria kerana dilihat sebagai program hiburan yang melampau dan mengundang pelbagai kesan maksiat.
  9. Sejak itu, Konsert Sure Heboh ditukar kepada Karnival Jom Heboh. TV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur hiburan dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.
  10. Karnival Jom Heboh diadakan di Kelantan pada tahun 2009 dan 2011. Pada masa ini, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat masih lagi menjadi Menteri Besar Kelantan. Jadi tidak tepat mengatakan tiada konsert pada zaman TG Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  11. Konsert Jom heboh disiarkan secara langsung di kaca TV. Saya lihat hadirin tidak tekinja-kinja sebagaimana dalam konsert biasa.
  12. Saya berasakan konsert riuh Sokmo selama 3 hari di Kelantan itu menepati Enakmen Hiburan 1998. Cuma kelihatan hadirin bersesak-sesak dan macam luar kawalan. Mungkin sebab itu ia menjadi viral dan Ketua pemuda PAS Kelantan membuat kenyataan media.
  13. Saya merasakan juga perlu ada kawalan dan pengawasan yang lebih ketat terhadap hadirin. Pemuda PAS atau Jabatan Amal (Semut Merah) boleh mainkan peranan pada bahagian ini.
  14. Kesimpulannya, Kerajaan Kelantan tidak mengharamkan konsert secara total tetapi membenarkannya selagi ia mematuhi Enakmen Hiburan 1998. Moga pihak penganjur atau berwajib melakukan kawalan lebih ketat agar hadirin lebih bersopan dan terkawal dan pemilihan lagu yang sesuai.
  15. Rakyat suarakan isu konsert di Kelantan bukan kerana benci tetapi sebab kasih kepada Negeri Serambi Mekah.

Apatah lagi, Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai kuasa dan pendirian tegas terhadap konsert berbanding dengan negeri lain yang agak mesra dengan penganjuran konsert. Salam hormat.

Islam Memimpin

Dr. Abdél Rahmanov
20 September 2022

BACA: PAS Desak Konsert Dibatalkan Atau Terima Bantahan “BESAR-BESARAN” Di Seluruh Negara

Sumber: Abdel Rahmanov