
Konsert: Giliran Kedah Pula ‘Terkinja-Kinja’ Lepas Kelantan. Apa Sebenarnya Berlaku?
Masyarakat kesal, sedih dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku apabila budaya konsert semakin dibiarkan menjadi kebiasaan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Apabila PAS memerintah, masyarakat mengharapkan wujudnya pentadbiran Islam yang baik namun, apa yang berlaku, tidak seperti yang diharapkan.
Demikian apa yang diluahkan oleh Dr Abdul Rahman A Shukor melalui akaun Facebooknya, Abdel Rahmanov berikut mengenai penganjuran konsert di Kelantan dan Kedah baru-baru ini yang dianggapnya sangat menyedihkan.
- Saya berasa amat sedih melihat video konsert Kedah. Sebelum ini tular video konsert di Ketereh, Kelantan. Kini tular pula video konsert di Alor Setar, Kedah.
- Sedih melihat dua buah negeri yang ramai ulama dan pondok turut terjebak dengan budaya konsert. Jika tidak buat konsert, adakah akan mati rakyat Kedah dan Kelantan?
- Apabila tular video konsert di kelantan, Ketua Pemuda PAS kelantan menyuarakan bantahan. Malangnya berbeza dengan Kedah. Agak sunyi sepi. Saya tidak dengar suara Pemuda PAS Kedah. Ke mana pergi generasi haraki yang dididik sebelum ini? Jangan mendabik menjadi pendukung gerakan Islam tetapi membisu apabila benda mungkar berlaku di depan mata?
- Jika berlaku konsert di negeri lain. Kita tidak berasa terkilan sangat sebab memang negeri lain biasa anjur konsert hiburan. Tetapi apabila berlaku penganjuran konsert di Kedah atau kelantan yang diterajui oleh PAS. Maka masyarakat tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya?
- Lagi menyedihkan konsert di Kedah berlaku berdekatan Masjid Zahir dan pejabat Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Seolah-olah macam tiada tempat lain. Perkara ini amat menyedihkan.
- Exco Agama negeri Kedah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah berasa kesal terhadap apa yang berlaku. Datok Bandar Alor setar, Kedah pula menjelaskan pihaknya tidak pernah keluarkan lesen konsert berkenaan.
- Amat pelik mendengar kenyataan Exco dan Datok Bandar Alor Setar. Adakah cukup hanya dengan luahan berasa kesal? Sekarang kamu bukan ustaz kampung tetapi mentadbir sebuah negeri dan mempunyai kuasa. Jika penganjur tidak mempunyai lesen maka konsert itu boleh dihalang dengan segera. Apa sudah jadi dengan Kerajaan Negeri dan PBT?
- Nasib baik akhirnya MB Kedah mengarahkan supaya konsert luar tatasusila tidak dibenarkan di Kedah. Tahniah MB Kedah!
- Apabila PAS memerintah negeri maka masyarakat harapkan wujudnya pentadbiran Islam yang baik. Namun apa yang berlaku, jauh berbeza dengan apa yang diharapkan.
- Jika pentadbiran PAS sama dengan parti lain maka kenapa perlu undi PAS? Pentadbiran Islam bukan hanya dengan slogan ‘Membangun bersama Islam’ dan laungan Allahu Akbar. Pentadbiran Islam perlu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya.
- Moga kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Kerajaan negeri, PBT dan pihak berkaitan perlu berganding bahu, komited dan dedikasi dalam melaksanakan pentadbiran Islam. Jangan letak semua bebanan ke atas MB.
- Jangan sebab parti yang kita yang sokong atau kumpulan kita sendiri buat silap maka kita berdiam diri atau cakap berdolak-dalih. Kita perlu berkata benar walaupun pahit. Jangan kuman di seberang lautan nampak, tetapi gajah di pelupuk mata tidak nampak.
Setiap pihak perlu bersuara apabila berlaku kemungkaran. Jangan sampai nanti Allah murka. Ketika itu kesedihan dan kesalan tiada bermakna lagi. Salam hormat.
Dr. Abdél Rahmanov
4 Oktober 2022
BACA: “…Kalau Lagu Itu Lagu Yang Biasa, Mungkin Tak Jadi Terkinja-Kinja” – Mohd Amar
Sumber: Abdel Rahmanov