
Konon Buat Eksperimen Sosial, Netizen Terhibur Dengan Nasihat Lelaki ‘Berpengalaman’ Ini
Semalam tular tangkap layar seorang wanita yang kononnya melakukan eksperimen sosial sama ada benar atau tidak lengkap dua dos vaksin baru dibenarkan untuk memasuki premis seperti yang baru ditetapkan dalam kebanyakan prosedur operasi standard yang terbaharu.
Antara petikan hantaran yang dilakukan beliau:
“Hari tu beberapa hari saya buat eksperimen sosial, lepas media beritahu boleh masuk situ, masuk sini. Yang tak ada dua dos boleh mereput di rumah, kata orang yang selalu tak puas hati dengan anti-vaksin.
Saja nak uji, bukan gerai-gerai tepi jalan sahaja yang saya pergi, 7Eleven, Speedmart, Pizza Hut, semua kedai saya masuk, satu premis pun tak ada yang semak saya dua dos ke tidak. Seorang pun tak tanya.
Alkisahnya, suami pun ada buat juga eksperimen sosial dia sendiri, pergi kedai gunting rambut, tapi kena halau. Dua premis dia pergi, pakat kena halau sebab tak ada dua dos.
Akhirnya dapat la masuk satu premis yang tak tanya apa-apa, masuk, gunting rambut, siap. Tukang gunting rambut yang halau orang tu memang tak nak duit. Dah kaya la tu.
Tukang gunting yang tak tanya apa-apa tu memang betul nak cari duit. Jadi lepas ni kita sokong tukang gunting yang betul-betul nak cari duit je.”
Menimbulkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam, pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 35 tahun dan 36 tahun sudah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain daripada Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.
Susulan tularnya tangkap layar berkenaan, ada satu hantaran lain yang menarik perhatian netizen iaitu perkongsian pengalaman seorang lelaki yang pernah ‘kena’ pada tahun lalu.
Beliau yang berkongsi di bawah akaun Syed Mohd Faiz Al-Shahab berkongsikan pengalamannya ditahan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan namun sudah diselesaikan dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukum tidak bersalah.

Sempat menasihati netizen untuk tidak berkongsi sesuatu berita sekiranya tidak sahih, Syed mendedahkan pihak polis mampu mencari lokasinya walaupun beliau baru sahaja berpindah rumah dua bulan sebelumnya.
Memberitahu perkara berkenaan memberi pengajaran kepadanya, beliau sempat menyelitkan nasihat untuk semua netizen ‘bawa otak’ semasa di media sosial dan sekiranya terlihat kenyataan seperti yang dilakukan dua individu di atas, kongsikan sahaja di media sosial untuk mereka mendapat pengajaran yang sepatutnya.

Sebelum ini, pihak polis menegaskan golongan anti-vaksin yang menyebarkan berita palsu bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Malah dalam satu kajian yang pernah dilakukan, pengguna Facebook adalah antara yang paling banyak ditipu berita palsu.
Baca lanjut di: Pengguna Facebook Paling Banyak Ditipu Berita Palsu