
Konflik Rusia-Ukraine Dan Impaknya Kepada Malaysia
Kebimbangan pemimpin dunia terhadap konflik Rusia-Ukraine semakin kemuncak apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangan di Ukraine bagi mempertahankan kumpulan pemisah di timur negara itu.
Menerusi kenyataan mengejut yang dibuat secara langsung dalam siaran televisyen, Putin mengecam ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang berlaku di timur Ukraine sebelum ini dan menyelar dasar agresif Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap negara ini.
Putin menegaskan, apa yang berlaku ketika ini bukanlah menawan Ukraine, sebaliknya tindakan demiliterisasi di negara itu.
BACA: Perang Besar Bakal Tercetus? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Konflik Rusia – Ukraine
Beliau juga memberi amaran agar tiada sesiapa yang masuk campur konflik antara mereka dan jika tidak, Rusia akan bertindak dan menyebabkan akibat yang mereka tidak pernah bayangkan.
Namun, Putin tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai operasi ketenteraan di Ukraine, sama ada melibatkan kawasan timur negara itu, atau keseluruhannya.
Memandangkan konflik ini berlaku jauh di Eropah Timur, adakah ia turut memberikan kesan negara lain termasuk di Asia khususnya Malaysia?
Impak perang terhadap Malaysia
Seperti yang diketahui, Moscow merupakan pengeksport utama minyak kedua di dunia dan gas asli terutamanya ke Eropah.
Konflik yang berlaku mengakibatkan lonjakan harga minyak seterusnya menyebabkan inflasi. Sejuruh Putin melancarkan serangan, harga minyak mentah Brent mencecah AS$100 setong buat kali pertama sejak 2014.
Menurut penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Shahriman Lockman, rakyat Malaysia harus memberikan perhatian kepada isu ini kerana ia mampu memberikan kesan inflasi kepada negara.
Dengan kenaikan ini juga bermakna harga petrol semasa di Malaysia akan turut meningkat. Hal ii disebabkan turun dan naik harga minyak di negara kita bergantung kepada dua faktor iaitu harga minyak mentah dunia dan juga kadar tukaran mata wang Ringgit.
Apabila berlakunya peningkatan, ia akan memberikan kesan kepada kos pengangkutan dan perniagaan dan mungkin boleh menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan yang sudah semakin menaik.
Selain itu, industri lain seperti makanan dan pembuatan kereta juga tidak terkecuali menerima impak besar serta bakal berdepan gangguan rantaian bekalan.
Sektor pertanian di Eropah juga dijangka terkesan jika eksport baja dihasilkan Kiev dan Moscow mengalami gangguan yang akan menyebabkan kenaikan harga makanan di seluruh dunia.
Akibatnya, kejutan kepada kestabilan antarabangsa boleh melanda pasaran global berikutan ancaman pencerobohan tersebut didakwa berada pada skala yang tidak dapat dijangka.
Dilaporkan lebih 100,000 kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 137 anggota tentera Ukraine termasuk penduduk awam terkorban akibat serangan Rusia.
Sumber: Sinar Harian, Awani
Trending now



