
KKM Akan Mula Ujian Kesan COVID-19 Besar-Besaran Tak Lama Lagi
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan segera melakukan ujian secara besar-besaran untuk mengesan kes COVID-19 dalam kalangan orang ramai, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Khamis.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan telah memesan alat ujian pantas (RTK) dari sebuah syarikat Korea Selatan dan berharap dapat menerimanya minggu depan.
Kit ujian pantas dari Korea Selatan mempunyai ketepatan hampir 100% dalam mengesan jangkitan COVID-19 dalam tubuh manusia. Katanya, kit ujian bernama Standard Q Bio-Censor itu mempunyai keupayaan 84.4% untuk mengesan wabak tersebut.
“Berita baiknya adalah, kepekaan yang kita cari adalah pada 84.4 peratus. Dan kekhususan ujian itu adalah 100 peratus,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Katanya, perkembangan ini bermakna daripada 100 inividu yang diperiksa, 84.4% berjaya dikesan terkena jangkitan berkenaan.
Menurutnya, kit ujian itu merupakan berita baik kepada KKM kerana sampel daripada kelompok sasaran tidak perlu lagi dihantar ke makmal.
Peratusan yang disebut Noor Hisham ini bermaksud ujian tidak akan menghasilkan hasil positif palsu, tetapi kadang-kadang boleh menghasilkan keputusan negatif palsu (iaitu hasil negatif walaupun orang yang diuji mempunyai COVID-19).
KKM sudah pun menjalankan ujian saringan besar-besaran (mass testing) ke atas glongan sasaran di beberapa lokasi tertentu yang dipercayai mempunyai risiko tinggi jangkitan tersebut.
“Harapnya, selewatnya minggu depan, setelah mendapat ujian kit, kami dapat melakukan pemeriksaan besar-besaran (mass testing),” katanya.
Sebelum ini, KKM telah menguji beberapa jenama antigen RTK yang dihasilkan oleh beberapa syarikat, termasuk dari Korea Selatan dan China.
Bagaimanapun, kementerian telah memutuskan untuk tidak membeli alat ujian itu selepas mendapati kit tersebut mempunyai tahap kepekaan rendah untuk mengesan COVID-19.
59 juta unit PPE diperlukan sebulan
Dalam perkembangan lain, jumlah penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan di bawah KKM sebanyak 59 juta unit sebulan. KKM telah berbincang dengan beberapa agensi terutamanya dalam industri fesyen untuk memastikan bekalan berterusan bagi PPE.
Sehingga kini, lebih 90,000 individu dalam negara telah disaring untuk COVID-19 dengan ujian positif sebanyak 5.4%.
Sumber: MalaysiaKini, FMT