Wanita Ihram

“Kita Tak Tahu Dekat Mana Dia Duduk” – Wanita Berpakaian Ihram Masih Gagal Dijejaki

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang wanita berpakaian ihram lelaki di Mekah seperti yang tular menerusi satu rakaman video baru-baru ini diminta tampil untuk membantu siasatan kerana pihak berkuasa agama masih lagi gagal untuk menjejakinya.

“Kita tak tahu dekat mana dia duduk,” demikian jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang dipetik dari sumber BERNAMA menerusi portal Majoriti.

Wanita Ihram

“Sepatutnya dia kena berani sebab dia tunjuk gambar, jadi tak hebatlah. Patut kalau berani tunjuk depan Kaabah seolah-olah nak timbulkan provokasi, tapi kenapa takut. Patut berani buat, beranilah tanggung,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, media telah melaporkan tindakan tegas menanti wanita terbabit berikutan tular di Twitter mengenai tindakannya yang berada dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki di Mekah.

Menurutnya lagi, terdapat laporan mengatakan bahawa wanita tersebut kini berada di Selangor dan pihak berkuasa agama di negeri itu akan dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

Datuk Idris Ahmad turut menjelaskan bahawa tindakan undang-undang melibatkan hal ehwal agama adalah tertakluk kepada bidang kuasa jabatan agama negeri masing-masing dan semua pihak akan dimaklumkan jika terdapat maklumat diterima mengenai keberadaan individu berkenaan.

Sambil turut menafikan bahawa pihaknya lambat bertindak dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan agama Islam, Datuk Idris Ahmad dipetik berkata beberapa tindakan telah diambil dan diselesaikan selain memaklumkan kepada pihak berkuasa agama negeri mengikut peruntukan ditetapkan.

“Kena ingat bidang kuasa bertindak ini di bawah pihak berkuasa agama negeri. Ada prosedurnya bukan dibuat semberono,” tambahnya lagi.

BACA: Isu Transgender Tunai Umrah, Ini Hukum Yang Wajib Mereka Patuhi

Sumber: Majoriti