Infrastruktur

“…Kita Mempunyai Infrastruktur Kelas Pertama Tetapi Penyelenggaraan Kelas Ketiga…”

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“20 tahun lepas semasa zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) lagi kita dah sebut kita mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi (sistem) penyelenggaraan kelas ketiga, ini sesuatu yang kita kena ubah,” jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika berucap semasa lawatan kerja di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) baru-baru ini.

Wartawan Utusan Malaysia, Kamariah Khalidi melaporkan, Menteri Pengangkutan itu juga menegaskan bahawa budaya tersebut perlu diubah bagi memastikan ianya seiring dengan keupayaan teknologi ketika ini.

“Apa yang kita perlu laksanakan, kita laksanakan dalam kadar segera, saya lebih bersemangat (sekarang) berbanding semasa berada di MOT (Kementerian Pengangkutan) buat pertama kali, sebab hidup ini kita tak tahu berapa lama dalam satu kedudukan, jadi pengalaman lalu mengajar saya apa sahaja peluang yang ada kita mesti buat terbaik.

“Bukan sahaja CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia), semua sektor dalam MOT perlu pentingkan penyelenggaraan (kerana) saya telah lihat masalah yang timbul membabitkan LRT untuk sektor pengangkutan awam kita,” tambah beliau lagi.

Ketiadaan budaya penyelenggaraan seiring dengan teknologi juga menurut beliau boleh menyebabkan mustahil bagi negara untuk mampu bergerak dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Sebelum ini, Anthony Loke telah memaklumkan mengenai semua lif di 16 stesen monorel sekitar Lembah Klang masih tidak berfungsi berdasarkan laporan audit yang diterima daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Sebanyak 46 daripada 706 eskalator juga didapati masih rosak manakala sebanyak 664 lampu masih tidak berfungsi.

Infrastruktur

BACA: LRT Digantung 7 Hari – “Engineer Kulit Putih, Mata Biru Jugak Yang Terpaling Dipercayai”

Sumber: Utusan Malaysia