
Kisah Wanita Disahkan Meninggal Terpaksa Buktikan Dirinya Masih Hidup
Kisah Wanita Disahkan Meninggal Terpaksa Buktikan Dirinya Masih Hidup.
Rata-rata daripada kita pasti tidak pernah membayangkan bagaimana jika diisytiharkan meninggal dunia, padahal masih hidup sihat.
Itulah yang sedang dihadapi oleh seorang wanita Perancis berusia 58 tahun yang mana dia disahkan meninggal dunia terpaksa berjuang untuk membuktikan dirinya masih hidup.
Jeanne Pouchain perlu berusaha membuktikan bahawa dia masih hidup dan sihat selama tiga tahun, selepas mahkamah buruh mengisytiharkan dia mati, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh salah seorang bekas pekerjanya.
Laporan kematian Pouchain menjadi perhatian selepas AFP menemui mangsa di rumahnya di bandar Saint-Joseph, dekat Lyon.
Pouchain sedang berusaha membuktikan dia masih hidup, sejak mahkamah tenaga kerja menyenaraikannya sebagai orang yang sudah meninggal dunia pada November 2017.
Pengisytiharan tersebut telah membuatkan kehidupan Pouchain kucar-kacir.
Namanya dihapuskan daripada rekod rasmi, kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, akaun bank dan insurans kesihatan.
Silih faham dengan bekas pekerja
Semuanya berpunca apabila bekas pekerjanya memberi maklumat salah ketika dia mengusahakan perniagaan perkhidmatan pembersihan.
Perselisihan faham itu berpunca apabila pekerja itu tidak berpuas hati akibat dipecat. Anehnya, semua percaya bahawa Pouchain sudah meninggal dunia walaupun bekas pekerjanya itu tidak memberikan sebarang bukti.
“Ia satu kisah gila,” kata peguam Pouchain kepada AFP.
“Pihak plaintif mendakwa Pouchain sudah mati, tanpa memberikan sebarang bukti, dan semua orang mempercayainya, Tidak ada sesiapa yang memeriksanya,” tambahnya.
Kes Pouchain bermula pada tahun 2000, ketika syarikat pembersihannya terpaksa memecat beberapa pekerja kerana kehilangan kontrak utama.
Pada tahun 2004, pihak mahkamah meminta syarikat milik Pouchain untuk membayar pampasan kepada pekerja yang dipecatnya. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut tidak pernah melaksanakan keputusan mahkamah.
Lima tahun kemudian, bekas pekerjanya cuba menyaman Pouchain sebanyak dua kali tetapi gagal.
Kegagalan itu membuatkan bekas pekerjanya nekad memalsukan kematian Pouchain untuk mendapatkan pampasan dari warisnya, suami dan anak lelaki.
Bekas pekerja dan peguamnya mengatakan bahawa Pouchain harus dipersalahkan kerana enggan menjawab surat-menyurat dan berusaha untuk mengelakkan perbicaraan.
Hal itu membuatkan bekas pekerja tersebut memaklumkan pada mahkamah bahawa bekas majikannya sudah meninggal dunia.
Kes itu membuatkan Pouchain terpaksa turun naik mahkamah bagi membuktikan dirinya masih lagi hidup.
Sumber: Oddity Central