Kisah Sayu Penjual Tular Anak Patung Pokemon, Uncle David Sebelum Meninggal Dunia

Uncle David Penjual Anak Patung Pokemon

Masih ingatkah lagi dengan seorang pak cik yang dikenali sebagai Uncle David menjual anak patung Pokemon di kaki lama di Uptown Damansara?

Kisahnya tular beberapa tahun lalu bukan sahaja di seluruh Malaysia, malah turut mendapat liputan antarabangsa.

Sejak kisahnya tular pada ketika itu, ramai orang datang di tempat Uncle David menjual untuk mendapatkan mainan anak patung Pokemon yang dijual beliau. Sehingga ada yang sanggup datang dari jauh seperti Puchong dan Klang semata-mata untuk membeli patung-patung comel itu.

Namun, berita mengejutkan netizen apabila mendapati bahawa Uncle David telah meninggal dunia. Berita sedih itu dikongsikan oleh seorang rakan pak cik itu, June Lim di akaun Facebooknya.

Anak Uncle David, Rafeal mengesahkan bahawa ayahnya meninggal dunia kerana menghidapi diabetes dan kegagalan jantung. Rafeal turut berkongsi bahawa ayahnya sudah mulai sakit dan kerap dimasukkan ke hospital sejak tahun lalu.

“Dia menghidap diabetes dan jantungnya gagal. Momen terakhir adalah ketika dia berada di rumah pada hari Khamis dan kami mendapati dia tidak bertindak balas ketika dipanggil. Kami memanggil ambulans untuk menjemputnya.

“Setelah diperiksa, hospital memberitahu bahawa dia mengalami jangkitan paru-paru. Sebelumnya, dia sudah didiagnosis dengan jangkitan tetapi mereka mengatakan bahawa ia tidak serius dan telah sembuh.

“Tetapi kemudian ternyata jangkitan itu sangat teruk dan kerana itu, paru-paru dan ginjalnya gagal.” katanya.

Uncle David Penjual Anak Patung Pokemon

Uncle David atau nama sebenarnya David Christopher dikenali sebagai penjual anak patung di jalanan oleh warga tempatan. Dia telah melakukan kerja ini sejak 19 tahun yang lepas. Sebelum ini, Uncle David pernah menjual patung-patung tersebut dari Subang ke Hartamas dan sekitar Lembah Klang.

Kemudian, beliau ditawarkan untuk bertapak di hadapan Bank HSBC di Damansara Utama atas faktor kesihatan yang menjadikan beliau sukar untuk berjalan dalam jangka masa yang lama.

Menurut sumber, Uncle David disahkan menghidap leukemia pada Mac 2015. Doktor berkata bahawa beliau hanya mempunyai kira-kira 6 bulan sahaja untuk hidup.

Sejurus mendengar berita tentang penyakitnya, Uncle David berasa sangat sedih dan ingin putus asa. Namun, beliau menguatkan semangat untuk terus hidup seperti normal dan kini beliau semakin pulih.

Sesi kemoterapi telah memberi kesan kepada tubuh badannya, jadi Uncle David kini tidak mampu untuk memandu dan terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam. Setiap hari beliau akan mengambil tiga tren dan dua bas untuk datang ke Damansara Utama dari rumahnya di Pandan Perdana, Cheras.

Uncle David Penjual Anak Patung Pokemon

Pernah dirompak ketika menjual anak patung

Walaupun terpaksa berdepan cabaran yang sukar, Uncle David tidak pernah berputus asa dan terus gigih menjual anak patung demi menyara kos rawatan leukemia yang dihidapinya.

Dia pernah lima kali cuba dirompak menggunakan senjata tajam dan bernasib baik kerana dibantu oleh pengawal keselamatan sebuah bank dan orang ramai yang terlihat cubaan merompaknya.

Uncle David menjelaskan betapa susahnya untuk memujuk orang ramai membeli anak patung yang dijualnya. Sebelum ini, amat sukar bagi beliau untuk menjual 50 anak patung dalam masa seminggu.

PKP buatkan Uncle David sukar

Kisah Uncle David pernah menghebohkan media sosial tahun lalu gara-gara seorang pelanggannya mahu membeli 250 anak patung Pokemon, namun tidak muncul. Kerana isu ini menjadi tular, orang awam segera membantunya untuk membeli anak patung tersebut dengan harga RM10 setiap satu.

Sebenarnya, selepas kisahnya tular, Uncle David masih lagi menjual anak patung di tempat yang sama.

Namun, semenjak wabak COVID-19 melanda negara ditambah pula komplikasi kesihatan membuatkannya lebih sukar mencari mata pencarian. Uncle David kemudian dimasukkan ke hospital di Ampang atas faktor masalah jantung.

Dear our beloved Uncle David, our sweet memories with Pokemon Toys. 😭 Good bye Uncle Pokemon…

Posted by June Lim on Saturday, October 3, 2020

 

Sumber: Says, Gempak, June Lim