
Kisah Luqman Al-Hakim Dan Perangai Manusia Yang Toksik
Memang sudah menjadi lumrah kehidupan, manusia yang berperangai toksik memang ada di mana-mana sejak dari dulu lagi sehingga ke hari ini.
Setiap hari, ada saja golongan yang gemar menyebarkan berita negatif mengenai orang lain seterusnya memuat naik konten tersebut untuk menjadikannya viral di media sosial.
Segelintir golongan netizen pula akan muncul beramai-ramai untuk menghentam dan membuli dengan kata-kata kasar dan tidak beradab kononnya untuk sama-sama memberi pendapat dan pandangan.
Satu perkongsian mengenai kisah Luqman al-Hakim yang berhadapan dengan golongan toksik telah dibuat oleh seorang pengguna Facebook, Firdaus Musa melalui hantarannya berikut.
Kisah ini memang sesuai untuk dijadikan pengajaran dan iktibar pada ketika ini buat golongan pembuli siber yang gemar menghukum orang lain tetapi hanya berani berselindung di sebalik papan kekunci.
Jom baca kisah menarik Luqman al-Hakim dan golongan toksik ini.
Luqman al-Hakim pernah bawa anaknya dengan seekor keldai melalui pasar awam tempat tumpuan orang. Beliau tunggang keldai tersebut sementara anaknya berjalan kaki.
“Apa punya orang ni, anak dibiarkan jalan kaki bersusah payah, bapaknya bukan main senang lenang tunggang keldai”. Antara bawangan orang awam yang nampak kejadian itu.
Setelah beberapa ketika, si ayah pula berjalan kaki dan menaikkan anaknya menunggang keldai.
“Apa punya anak dibiarkan ayahnya yang tua berjalan kaki, sedangkan anaknya senang lenang berehat atas keldai, biadab!” Kata-kata membawang orang awam yang melihat kejadian itu. Pedih bagai dihiris-hiris.
Satu ketika beliau dan anaknya pula menunggang dan mengendalikan keldai.
Tetap juga ada suara-suara sumbang mengulas;
“Kesian keldai tua tu. Dengan bawa dua orang, siap dengan beban lagi, apa punya jenis manusia la dia orang ni, tak ada perikemanusiaan betul!”
Tak lama kemudian, kedua-duanya berjalan kaki membawa barangan dan membiarkan keldai berjalan tanpa membawa beban.
“Dah ada keldai, tak nak pula ditunggang, dibiarkan kosong, tuannya pula berjalan kaki”.
Pengajaran: Pandangan manusia ini lemah. Manusia ni kau buat apa pun tetap akan ada dan tak terhindar dari pandangan dan pendapat yang toksik dan berbeza.
Berapa ramai dari kita kongsi perkara di FB yang kita rasakan betul dan perlu tetapi akhirnya kita sebenarnya yang salah?
Berapa banyak sudah kita menghukum dan memberikan pandangan terhadap perbuatan seseorang di media sosial dan hanya mengambil kira pendapat dan logik sendiri tanpa memikirkan sebarang sebab dan kemungkinan?
Kawan, ini bulan puasa. Bulan kita kumpul pahala. Sekalipun tak puasa jangan pula berbangga. Kalau berpuasa tapi tiada jiwa agama pun tak jadi juga.
Buat apa pun biar berpada, sesekali kita cuba jadi masyarakat yang berjiwa mulia.
Sebab manusia ni mendongak tinggi ke langit sekalipun, pengakhirannya kita tetap ke tanah juga.
Sumber: Facebook Firdaus Musa