
Kisah Lelaki Menang Kes Mahkamah Lawan Kerajaan Dan SPA Gara-Gara Komen Di Facebook
Kisah Lelaki Menang Kes Mahkamah Lawan Kerajaan Dan SPA Gara-Gara Komen Di Facebook.
Dunia siber tanpa batasan membuka satu ruang besar bagi seseorang melontarkan pandangan, ketidakpuasan, rasa marah, sedih, gembira dan sebagainya tanpa mempedulikan perasaan pengguna media lain.
Namun begitu, pengguna juga sering diingatkan supaya tidak melulu dalam memberi sebarang komen menerusi media sosial kerana pasti ada ‘mata-mata’ yang memerhati.
Penjawat awam dihadap ke mahkamah gara-gara komen di Facebook
Bagaimanapun, satu kes mahkamah ini menarik perhatian seorang peguam untuk berkongsi di media sosialnya, @nas_rahmann.
Kes ini melibatkan seorang penjawat awam dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Kerajaan Malaysia.
Seorang lelaki dikenali sebagai Nazrul yang bertugas sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD) telah dipecat oleh SPA selepas didakwa telah mengeluarkan kenyataan memperlekehkan Najib Razak di Facebook pada 11 Januari 2017.
Dia didakwa berkata: “Kesian. Hilang kawan, hilang deposit.”
Kenyataannya di Facebook bekas Perdana Menteri itu menyusul ucapan takziah Najib Razak kepada keluarga Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tan Sri Adenan Satem, atas kematiannya yang mengejut.
SPA yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu mengeluarkan surat tunjuk sebab memecat Nazrul pada 13 Feb 2017 kerana melanggar Peraturan 19(1)(b) dan 4(2)(d) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Nazrul bertugas sebagai Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Manila ketika insiden itu berlaku dan telah berkhidmat sebagai pegawai PTD selama lapan tahun diarahkan pulang ke Malaysia.
Namun, pada Mei 2017, Nazrul memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SPA dan kerajaan bagi mencabar pemecatannya atas alasan kenyataan itu tidak ditujukan kepada kerajaan dan tidak menjatuhkan reputasi kerajaan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Peraturan berkenaan.
Dia turut mendakwa penggunaan Peraturan itu oleh SPA telah menyekat hak asasi beliau di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan pemecatannya adalah tidak wajar serta tidak rasional.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun telah menolak permohonan semakan kehakiman Nazrul.
Dia kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan pada November 2020, mahkamah membenarkan permohonannya dan mengarahkan SPA agar mengembalikan Nazrul ke jawatannya sebelum ini.
Menurut Nas Rahman, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nazrul atas beberapa sebab seperti:
1. Kenyataan yang dibuat adalah kepada Najib Razak dan bukannya Kerajaan Malaysia.
2. Pihak Jabatan gagal untuk memberikan alasan kenapa penjelasan yang diberikan oleh Nazrul tidak dipertimbangkan.
3. Kenyataan terlalu cryptic dan boleh di interpret berlainan oleh setiap pihak.
4. Nazrul ada rekod prestasi kerja yang baik.
Berikutan itu, mahkamah telah memutuskan untuk membatalkan hukuman buang kerja terhadap Nazrul.
Manakala Kerajaan Malaysia juga perlu membayar semula gaji dan faedah kepada Nazrul dari tarikh pembuangan kerja.
Anda boleh baca dan ikuti lebih banyak kes menarik berkaitan undang-undang yang dikongsikan oleh Nas Rahman menerusi laman Twitter miliknya.
Sumber: FMT, BH, Twitter Nas Rahman
Trending now



