Asal Usul Cipta Periuk Nasi

Kisah Kesulitan Suri Rumah Jepun Sehingga Tercetus Ilham Cipta Periuk Nasi Elektrik

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Periuk nasi elektrik adalah salah satu alat elektronik yang wajib ada di dapur setiap rumah yang menjadikan nasi sebagai makan ruji kita.

Tanpanya, amatlah sukar untuk menyediakan hidangan nasi beraneka jenis kesukaan ramai seperti nasi goreng, nasi lemak dan nasi beriani atau untuk digandingkan dengan lauk-pauk masakan orang rumah.

Baru-baru ini media sosial dikejutkan oleh video terbitan BBC Food yang mengusulkan cara ‘lain daripada yang lain’ untuk memasak nasi, iaitu dengan mencuci dan menyaring air kanji sesudah nasi ditanak.

Bagaimanapun, kaedah itu tiada salahnya tetapi bagi masyarakat Asia adalah lebih mudah jika menggunakan sahaja periuk nasi elektrik sedia ada. Kenapa perlu bersusah payah memasak nasi atas dapur, bukan?

Tanpa mengira kaedah menanak nasi pilihan anda, periuk nasi elektrik adalah perkakas rumah yang begitu lazim sehinggakan tidak ramai mungkin yang tahu tentang asal usul ciptaannya di Jepun.

Kepayahan memasak nasi atas dapur batu

Ciptaan periuk nasi elektrik didorong oleh keinginan syarikat-syarikat Jepun untuk mempermudahkan proses menanak nasi. Sudah pasti anda yang pernah mencuba untuk menanak nasi menggunakan dapur, mengetahui kesukaran yang dihadapi.

Begitu juga pengalaman para suri rumah Jepun yang menggunakan kaedah ‘kamado’ iaitu menggunakan periuk besi berat atas dapur batu. Nasi perlu dimasak hingga air mendidih dan kemudian api dikecilkan lalu dikuatkan lagi.

Sama seperti pengalaman sesetengah daripada anda yang pernah hidup di kampung, mereka juga perlu keluar rumah sejak awal pagi lagi untuk mencari kayu, seperti kayu bakau, supaya nasi siap untuk dihidangkan semasa sarapan pagi.

Ciptaan periuk nasi elektrik

Menurut sumber Atlas Obscur, periuk nasi elektrik terawal dipasarkan Mitsubishi Electric pada 1923 bagi kegunaan industri dan kemudian digunakan oleh tentera pada 1930-an.

Ketika itu, periuk nasi belum lagi dijual kepada para pengguna kerana ramai yang prihatin tentang cara menanak nasi. Secara khusus, beras Jepun perlu dimasak sehingga kanji hampir bertukar menjadi gula supaya rasa manis sedikit.

Ada juga sesetengah orang, yang ingin supaya nasinya melekat tapi setiap butir masih boleh diasing-asingkan dan ia harus mengekalkan kelembapan. Ini semua,sukar untuk dicapai tanpa kaedah automatik untuk menjaga kehangatan dan masa menanak.

Periuk nasi automatik bagi kegunaan di rumah diperkenalkan oleh Toshiba pada 1955 yang kemudian diikuti oleh sebuah lagi model keluaran Matsushita (yang kini dikenali sebagai Panasonic).

Asal Usul Cipta Periuk Nasi

Ciptaan periuk nasi automatik merupakan cetusan idea jurujual Toshiba Shogo Yamada. Semasa beliau menjelajah Jepun pada 1950-an untuk memasarkan mesin pembasuh baju, beliau mendapati bahawa kerja rumah yang paling sukar bagi suri rumah adalah untuk memasak nasi tiga kali sehari menggunakan kaedah ‘kamado’.

Kemudian, Yamada melakukan projek periuk nasi automatik bersama isterinya yang mana dua elemen penting ini kekal sehingga kini.

Pertama, suis yang diperbuat daripada dua jenis besi digunakan supaya periuk nasi akan dimatikan sebaik sahaja suhu menjangkaui 100 darjah Selsius. Ini supaya nasi yang ditanak boleh disimpan hangat semalaman.

Cabaran kedua, adalah untuk mengekalkan kehangatan supaya tidak terlepas dari dalam periuk.

Hasil usaha suami isteri tersebut adalah periuk nasi elektrik automatik Toshiba yang merangkumi sebuah periuk diperbuat daripada lapisan besi yang terkandung dalam sebuah lagi periuk, dengan dilengkapi suis ‘keep warm’ atau kekalkan hangat.

Menjelang tahun 1960-an dengan keleluasaan bekalan elektrik ke rumah-rumah, periuk nasi automatik laris dijual bagai pisang goreng.

Tidak lama selepas pelancaran periuk nasi Toshiba, Matsushita pula menyertai persaingan untuk memasarkan periuk nasinya ke serata dunia yang kini jenama-jemana tersebut banyak digunakan oleh suri rumah di sini.

Sehingga ke hari ini, periuk nasi mempunyai pelbagai fungsi dan mempunyai ciri-ciri elektronik yang bukan sahaja untuk memasak nasi, bahkan juga boleh digunakan untuk membakar kek, bubur dan lain-lain.

Sumber: MediaCorp