
Kisah Kemurtadan Natrah Yang Pernah Cetuskan Rusuhan Besaran Pada 1950
Biarpun sudah 70 tahun berlalu, kisah Natrah masih lagi disebut-sebut sehingga kini.
Natrah atau nama asalnya Huberdina Maria Hertogh (24 Mac 1937) yang dilahirkan di Kepulauan Melayu, Bandung merupakan anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh.
Lahir dalam keluarga Katolik, Natrah kemudiannya diserahkan kepada Che Aminah, seorang wanita dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas bapanya yang merupakan Sarjan dalam pasukan tentera Belanda telah ditahan askar Jepun.
Selepas beberapa tahun, bapa Natrah dibebaskan dan beliau telah membawa keluarganya (tanpa Natrah) pulang ke Belanda.
Che Aminah kemudiannya membesarkan Natrah mengikut adat Melayu dan Islam dan menukarkan nama Huberdina kepada Natrah.

Disebabkan kebencian orang Indonesia yang tinggi kepada penjajah, Che Aminah kemudiannya berpindah ke Kemanan, Terengganu. Disebabkan tidak mahu orang ramai mengetahui Natrah merupakan ‘orang kulit putih’, Che Aminah telah melumurkan badan Natrah dengan minyak hitam dan dibotakkan.
Setibanya di Malaya, ibu bapa kandung Natrah meminta Natrah diserahkan semula kepada mereka dengan membawa Natrah ke Singapura bersama tawaran sebanyak 500 dolar SGD.
Namun disebabkan terlampau sayang kepada Natrah, Che Aminah enggan sehingga menyebabkan beliau disaman.
Keadaan menjadi lebih keruh apabila Natrah pada umur 13 tahun telah dikahwinkan dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun. Dalam undang-undang Belanda, individu di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan untuk berkahwin.
Mahkamah Singapura kemudiannya memutuskan hak penjagaan Natrah diserahkan semula kepada kepada ibu bapanya.

Di Belanda, Natrah telah memeluk agama Kristian. Keadaan ini membawa kepada kemarahan orang Melayu Malaya terutamanya di Singapura sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan besar-besaran di jalan raya Tanah Melayu dan Singapura pada 12 Disember 1950.

Bukan setakat rakyat biasa, pegawai polis berbangsa Melayu turut menunjukkan sokongan dengan memboikot arahan pegawai Inggeris dengan membiarkan para perusuh merusuh. Dilaporkan 18 orang terkorban dan lebih 200 lagi tercedera akibat daripada rusuhan tersebut.

Malah media antarabangsa seakan sengaja menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu apabila sengaja menyiarkan gambar Natrah berdoa dan melutut di hadapan patung The Virgin Mary di sebuah gereja. Malah banyak cerita-cerita tidak sensitif disiarkan mengenai ‘kegembiraan’ Natrah yang sudah pun menukar agama.
Natrah kemudiannya berpindah dan menetap di Amerika Syarikat (AS) pada 1984 dan meninggal dunia pada tahun 2009 akibat daripada penyakit leukaemia.

Menurut Fatini Yaacob, penulis buku biografi Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata, semasa menemuinya pada 1989, Natrah dilihat sebagai seorang wanita yang sudah tidak bermaya dan patah semangat kerana keadaan emosi dan mentalnya yang sangat lesu.
Ada ketakutan yang tidak mampu Natrah jelaskan terhadap orang Melayu dan Islam kerana beliau berkali-kali diberitahu bahawa ramai orang berjuang, cedera dan meninggal dunia hanya kerana tindakannya memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim tanpa keizinan ibu dan bapanya.
Walaupun ianya tidak benar, Natrah percaya bahawa orang Melayu melihat beliau sebagai pengkhianat dan mahu mencederakannya. Keadaan tersebut membawa kepada satu pergolakan emosi dalaman yang sangat lama buat Natrah.
Sumber: