
Kisah Kehilangan Elisa Lam Dalam Siri Dokumentari Netflix ‘Crime Scene: The Vanishing at the Cecil Hotel’
Baru sahaja ditayangkan di Netflix pada 10 Februari lalu, siri dokumentari Netflix, Crime Scene: The Vanishing at the Cecil Hotel tersenarai sebagai 10 rancangan yang trending di Malaysia.
Diarahkan oleh Joe Berlinger, siri dokumentari ini mengisahkan mengenai Elisa Lam yang mayatnya ditemui dari tangki air di atas Hotel Cecil di Pusat Bandar Los Angeles pada 19 Februari 2013.
Ketika dilaporkan hilang pada awal Februari 2013, Elisa dikatakan telah menginap di hotel berkenaan. Mayatnya ditemui selepas pihak pengurusan hotel menyiasat rungutan tetamu hotel mengenai tekanan air yang rendah.
BACA: Dokumentari ‘Casting JonBenet’ Dedah Sisi Lain Kisah Pembunuhan Ratu Cantik Cilik
Kes kehilangannya mendapat liputan meluas kerana rakaman CCTV sehari sebelum beliau hilang menunjukkan beliau keluar masuk lif, bercakap dan bertingkah seolah sedang bercakap dengan seseorang di kawasan koridor.
Mempunyai empat episod, anda boleh tonton trailer dahulu di pautan bawah:
Selain daripada ini, ada beberapa lagi dokumentari Netflix yang menarik untuk anda tonton. Antaranya mengenai pembunuh bersiri yang dikenali sebagai The Night Stalker.
Kisah Richard Ramirez yang terlibat dalam pembunuhan 13 individu, lima cubaan membunuh, 11 serangan seksual dan 14 kes pecah masuk rumah sekitar California pada tahun 1984 hingga 1985 dalam tempoh 14 bulan nyata mengejutkan ramai.
Dalam siri dokumentari arahan Tiller Russell, kisah ini dilayarkan ke platform penstriman dalam talian, Netflix dalam satu siri pendek empat episod.
Namun fokus dokumentari ini bukanlah pada si pelaku sebaliknya kepada mangsa-mangsa beliau.
Untuk pengetahuan anda, Ramirez mula terjebak dalam aktiviti keganasan apabila bergaul dengan sepupunya, Miguel sebelum melakukan pembunuhan pertamanya pada seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.